Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


HEP zalim kerana masih menguatkuasakan Auku - SIASAH 57

Oleh Ali Bukhari Amir

Kepada mereka yang pernah mengikuti tulisan saya di Harakahdaily baru-baru ini, maka ini adalah sambungan kepada tulisan tersebut.

Coretan pengalaman itu ditulis dengan tujuan membandingkan pengalaman peribadi lalu dengan pengalaman warga kampus sekarang. Saya cuma berharap, tulisan itu tidak dinilai dengan negatif seperti membanggakan diri.

Saya cuma rasa hairan, kenapakah jumlah pelajar yang ramai boleh mengalah ke atas suatu tekanan yang sebenarnya pernah ditempuh abang-abang dan kakak-kakak mereka terdahulu?

Hal itu tentunya berkaitan dengan rancangan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) untuk berdemonstrasi membantah ‘Stupid Debate’. Menurut laporan Harakahdaily, demo itu tidak dilaksanakan kerana arahan pentadbir universiti.

Saya pernah mengikuti setiap jejak langkah pelajar yang berdemonstrasi di Parlimen di suatu masa dahulu kerana membantah pelaksanaan Pilihan Raya Kampus yang tidak adil dan berat sebelah. Sama ada tindakan demo itu berjaya atau tidak, itu bukan persoalan.

Jumhur khalayak tidak mempersoalkan sama ada kita menang atau tidak. Tapi, mereka tetap mempersoalkan sama ada kita melawan atau tidak? Ini kerana, menang atau kalah ini adalah keputusan yang berada dalam genggaman Tuhan. Hal itu adalah takdir yang dirahsiakan.

Kita tiada pilihan dalam menentukan segala keputusan sama ada menang atau kalah. Kita tak boleh membuka genggaman Tuhan itu. Ini semua rahsia Tuhan. Jikalau kita tahu kita menang tentulah kita melawan. Jika kita tahu kita kalah, mungkin sahaja kita tidak bangkit melawan.

Mungkin sebab itu, kemenangan dan kekalahan sentiasa dirahsiakan Tuhan. Mungkin itulah hikmahnya. Kalau kita tahu kita akan kalah, mungkin kita tidak melawan. Jadi, tidak berlaku jihad. Jika tiada jihad, maka tiadalah syahid. Inilah hal yang paling asas dan mudah difahami.

Berdasarkan sirah, ada sekali saja rahsia kemenangan dalam peperangan dibuka oleh Tuhan. Iaitu dalam perang antara kerajaan Rom melawan Parsi. Wahyu turun dalam Surah ar-Ruum yang menjelaskan bahawa Rom akan menang selepas kekalahan mereka.

Oleh kerana belum diharamkan lagi sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan, Abu Bakar r.a telah bertaruh dengan kafir Quraisy, dengan menyatakan bahawa Rom akan menang di suatu masa nanti. Akhirnya beliau menang pertaruhan tersebut.

Kalau Abu Bakar r.a tahu Rom kalah, sudah tentu beliau tidak bertaruh. Bertaruh atau berjudi di sini jangan dilihat dalam warna negatif. Bertaruh mestilah dilihat daripada segi cara bentuk mencabar dan melawan Kafir Quraisy yang telah dilakukan oleh Abu Bakar r.a. Beliau bukan bertaruh dan berjudi untuk kepentingan kekayaan peribadi.

Abu Bakar r.a tidak cinta dunia. ketika jihad dilaungkan. Seluruh hartanya diinfakkan kepada Islam hingga ketika ditanya Rasulullah s.a.w tentang apa lagi yang ditinggalkan untuk Islam, Abu Bakar berkata: “Aku tinggalkan kepada mereka, Allah dan RasulNya sahaja.”

Mustahil orang begini bertaruh untuk kekayaan, gila harta serta kemewahan seperti gambaran penjudi yang selalu dibayangkan sebagai gila harta dan kemaruk kemewahan itu. Ringkasnya pertaruhan Abu Bakar r.a jangan dilihat seperti perjudian, malah ia adalah kaedah melawan.

Di sini, kalah dan menang dalam peperangan itu telah muncul sebagai pertaruhan. Ini hampir kepada judi pertaruhan yang terjadi di antara pasukan bola sepak atau mana-mana permainan popular. Judi pertaruhan begini tidak bermotifkan pertarungan mencabar, melawan kebatilan.

Jadi, kembali kepada persoalan awal, apakah yang menyebabkan kita mengalah? Adakah kita fikir kita tidak pernah menang atau tidak mungkin menang? Paradigma begini telah terjelma dalam fikiran Bani Israel. Tatkala diajak berperang, mereka berkata: “Pergilah kalian berdua berperang bersama Tuhan, tinggalkanlah kami menanti di sini.”

Jalan fikiran begini timbul kerana Bani Israel fikir mereka sudah takut berperang. Boleh jadi, telah tergambar di fikiran, bahawa mereka akan kalah dan tidak mungkin akan menang. Saya harap andaian saya ini tersilap ke atas pelajar berhaluan kiri pada hari ini.

Kita tahu pensyarah lebih takut daripada siswa. Ini hal biasa di mana-mana universiti. Orang yang bekerja dan dibayar gaji mereka terfikir sebegitu. Tetapi, pelajar itu tidak diupah, malah wang merekalah yang tumpah, mengalir dan melimpah menakungi perbendaharaan universiti guna membayar gaji para pegawai HEP termasuklah wang gaji TNC sendiri.

Sentiasa ingat bahawa secara idealnya kita meminjam PTPTN yang akhirnya kita akan bayar hutang piutang itu setelah memasuki alam kerjaya. Ertinya, kita lebih berkuasa! Hanya, yang kerap berlaku ialah – kita tidak menyedari kewujudan kekuatan dan kekuasaan kita itu.

Sepatutnya, siswa lebih berani daripada pensyarah. Sebab itu jika pensyarah mengalah dalam Forum Palestin di UKM, saya secara peribadi tak hairan sangat kerana pensyarah ada tembok ketakutan yang unik, iaitu takut hilang pendapatan untuk menampung keluarga. Jadi, kembali kepada persoalan asal, kenapakah pelajar mudah mengalah?

Atau, adakah kita telah mula memegang falsafah: “If you cannot fight them, then join them.”

Kalau ini yang terjadi, kita memang bermasalah. Sebabnya, antara faktor utama kita melawan HEP ialah kerana ada suatu nilai yang terpacak dalam kerangka pemikiran para pegawai HEP iaitu Auku adalah kuasa keramat. Jadi, kita perlulah jelas dalam perjuangan ini.

Kita lawan HEP bukan kerana namanya HEP. HEP tidak bersalah dan tak pernah bermasalah. Walaupun saya pernah menulis dengan nada radikal menyerang HEP, tetapi saya jelas darihal suatu perkara. Iaitu penentangan ke atas HEP adalah kerana mereka ‘beriman’ kepada Auku.

Auku adalah zalim dan kezaliman Auku itu kekal sampai kiamat. HEP akan selalu berikhtiar menguatkan Auku untuk menindas pensyarah dan siswa. Jadi, tidak timbul soal menang atau kalah. Paling penting, HEP ditentang kerana ia menguatkuasakan Auku. Itu sahaja.

Hubungan HEP-Auku saling menguatkan pinggir sungai kezaliman bagaikan aur serta tebing kebatilan. Arus sungai dakwah gagal meruntuhkan HEP-Auku sepanjang putaran roda waktu. Zalim HEP kerana Auku. Tanpa Auku, berubah watak HEP sebagai pemerintah yang adil dan perlulah ditaati akan sekalian perintahnya dalam universiti. Jadi, saya jelas mengenai hal itu.

HEP tanpa Auku akan melahirkan watak suka berdebat secara sihat dan meraikan pandangan-pandangan yang tidak sealiran dengan mereka, tanpa dihukum.

Tak timbul soal menang – kalah bertarung dengan HEP. Said Zahari, bekas tahanan ISA yang merengkok 17 tahun dalam penjara, berkata kepada penulis, Barisan Sosialis (Socialist Front) pernah kalah, dan mereka tidak peduli hal itu. Yang penting – perjuangan Sosialis ialah untuk mengubah sistem Kapitalis yang menindas rakyat.

Menurut hemat saya, tak timbul juga soal perubahan pendekatan yang lebih lunak untuk HEP dengan niat memperbaiki reputasi mana-mana pertubuhan yang dianggap radikal sebelum ini. Sebenarnya, anda telah ‘diradikalkan’ dengan sebab HEP – Auku telah menzalimi anda.

‘Pengganas’ Muslimin atau apa yang dinamakan sebagai terrorist telah memberontak kerana Amerika menzalimi Afghanistan, Iraq malahan penduduk pribumi Amerika sendiri–iaitu Red Indian. Kita radikal kerana telah diradikalkan oleh HEP-Auku. Maka, bukanlah kesilapan kita apabila dengan tiba-tiba kita berubah watak daripada lembut dan lunak kepada radikal.

Jadi, saya ingin mendengar apakah lagi alasan siswa-siswa yang takut dan telah mengalah ini. Bukan saja untuk kes di PMI UM. Malah untuk seluruh universiti. Apa saja pandangan di sini adalah lontaran idea yang mungkin ada kelemahan dan kesilapannya. Harap sudi dibetulkan.

Wallahu’alam …

0 Responses to “HEP zalim kerana masih menguatkuasakan Auku - SIASAH 57”

Post a Comment


Web This Blog