Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


Harga kepimpinan MPP UPM tinggi, penempatan asrama pula tergadai

Oleh Ali Bukhari Amir

SERDANG, 5 Oktober (Hrkh) - Ketika universiti lain mengenakan yuran pendaftaran pencalonan sekitar RM50 dalam PRK, harga kepimpinan pelajar UPM meningkat dua kali ganda, iaitu mencecah RM100.

“Jika borang pencalonan itu ditolak atas alasan tertentu, dan jika mereka ingin merayu semula, bayaran RM100 lagi dikenakan. Sedangkan, UPM sebelum ini mengenakan RM50 saja untuk bertanding,” kata seorang wakil pelajar Abdul Rahman Abdullah.

Anehnya, menurut beliau, kalau calon promahasiswa itu menang dalam pertandingan, mereka mendepani risiko dibuang kolej pula walhal mereka diundi pelajar untuk menjaga kebajikan mereka dalam kampus.

“Kita mahu wakil pelajar promahasiswa yang menang tadi akan terus mendapat haknya di kolej kerana di situlah mereka berpeluang bersemuka dengan mahasiswa yang mahu mengadu masalah seharian mereka.

“Tahun lalu hampir 38 ahli PMI dibuang kolej kerana terlibat dalam PRK. Hal ini melibatkan enam calon MPP promahasiswa yang baru saja menang PRK pada waktu itu,” kata beliau,” tambah beliau lagi ketika mengulas kes pembuangan Mohd Sulhi Waqiyuddin Mohd Jubri daripada Kolej Kediaman Ke-17.

Mohd Sulhi yang menginap di D-3-12-2 kolej berkenaan diarahkan mengosongkan bilik serta merta mulai Selasa lalu (2 Oktober) kerana dikatakan “dengan sengaja telah melanggar Arahan Tetap Kolej Kediaman (ATKK)” demikian isi surat tersebut dipetik.

Surat itu telah ditandatangani Penolong Pengurus kolej, Cik Rahiza Abu Hanipah, bagi pihak Pemangku Pengetua Prof Madya Dr Mohd Bakri Ishak. Sementara itu, salinan surat tersebut diberi kepada Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Ahmad Razeen Zulkifli.

“Jadi, ada dua isu, iaitu kami dikenakan yuran pendaftaran pencalonan PRK yang tinggi agar menyulitkan kami bertanding. Tapi, kalau menang pula kami berdepan dengan risiko bakal disingkir daripada kolej.

“Kami terbeban apabila membayar RM200 untuk rayuan dan bantahan ke atas pencalonan Aspirasi pada hari penamaan calon. Rayuan pertama dibuat melalui Jawatankuasa Pelaksana (JKP) yang diketuai TNC. Kemudian, rayuan kedua dibuat jika Pengerusi JKP menolaknya. Setiap kali rayuan, RM100 dikenakan.

“Justeru, kami gesa BPR menyiasat hal ini jika benar pihak tertentu terlibat dengan penyelewengan wang universiti. Jika berterusan, ia merosakkan sistem PRK di mana pilihan raya hanya disertai golongan kaya sementara yang kurang berkemampuan akan tertindas,” kata beliau.

Dari segi lain, menurut Abdul Rahman, ramai calon kecewa kerana wang pendaftaran pencalonan RM100 itu cuma mampu mencetak kepingan poster wajah para calon MPP dalam warna hitam putih.

Mengulas hal yang sama, seorang wakil pelajar Abdul Hakim Abdullah berkata, hal ini tidak berbaloi dari segi yuran yang tinggi, sepatutnya SPR UPM tidak hanya mencetak poster calon dalam satu poster sahaja.

“Sebelum ini tak pernah lagi poster SPR (HEP) dicetak dalam warna hitam putih. Adakah HEP kehabisan wang? Ke mana duit pendaftaran tadi telah dibelanjakan sebenarnya?

“Adakah perbelanjaan dibuat untuk kempen memburukkan calon promahasiswa di Tiara Beach Resort baru-baru ini?

“Poster ini patutnya diedar lebih awal. Tapi sehari sebelum pembuangan undi ia masih tidak diedarkan,” katanya sambil menyebut kes poster calon promahasiswa yang dirosakkan kumpulan Harimau Maut pada lewat malam.

Menurut Abdul Hakim, beliau mendapat maklumat bahawa kumpulan ini diketuai oleh adik kepada seorang pegawai HEP.

Sementara itu, ketika mengulas isu pembuangan Mohd Sulhi daripada kolej kediamannya, wakil Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB) Abdul Basit Abdullah berkata, tindakan ini tidak sepatutnya dilakukan oleh pegawai universiti yang mendapat pengiktirafan sijil ISO 9001.

“Pelajar bagaikan pelanggan universiti. Kalau beginilah layanannya terhadap kita, wajar ditarik kembali ISO 9001 kerana layanannya terhadap pelanggan amat teruk.

“HEP tak sepatutnya mengarahkan pengetua kolej membuang pelajar yang tidak sehaluan dengan mereka. Amanah jawatan TNC HEP bukan untuk menindas, tetapi untuk membantu pelajar,” jelas Abdul Basit.

Nota: Mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini dalam kampus UPM, dipersilakan melayari http://www.upmkini.blogspot.com