Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


Kaji semula keputusan batal MOU antara IPT tempatan dan universiti Al-Azhar

Ali Bukhari Amir
Mon | May 26, 08 | 5:59:05 pm MYT

KAHERAH, 26 Mei (Hrkh) - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula keputusan pembatalan persefahaman (MOU) antara institut pengajian tinggi Malaysia dan Universiti al-Azhar yang berpusat di Kaherah, Mesir.

Presiden PMRAM Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya melihat perjanjian persefahaman tersebut sangat membantu anak-anak Melayu dalam meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam pengajian Islam.

"Bidang tersebut tergolong dalam bidang kritikal di mana ia telah melahirkan modal insan yang berkualiti sesuai dengan agenda besar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa dalam soalan tambahannya kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Idris Haron bertanya kenapa MOU antara kerajaan Mesir dan kolej-kolej tempatan yang menghantar pelajar ke tahun tiga mereka ke al-Azhar telah dibatalkan.

Menjawab soalan tersebut, Dato' Idris memberitahu Parlimen bahawa antara sebab keputusan itu dilaksanakan adalah kerana permintaan pasaran ke atas graduan lulusan agama adalah minimum dan hal itu seterusnya mendorong kerajaan menghadkan penghantaran pelajar ke universiti al-Azhar.

Mengulas hal itu, Khairul Anuar berkata, kewujudan cawangan Universiti al-Azhar di Negeri Sembilan misalnya, adalah contoh bahawa kerajaan tidak wajar menyekat peluang graduan-graduan IPT tempatan untuk meneruskan pengajian di kampus induk universiti tertua itu.

"Merujuk dakwaan yang menyatakan perjanjian persefahaman itu tidak menepati pasaran kini, PMRAM melihat ia bukan sebab yang kukuh untuk terus dibatalkan kerjasama itu. Realiti sekarang menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan graduan di bidang pengajian lain turut berlaku.

"Apakah kerana sekadar faktor kekurangan kehendak pasaran semasa, maka terus sahaja disekat perkembangan ilmu agama dalam kalangan pelajar-pelajar di Malaysia?" kata beliau.

Tambah beliau, peluang pekerjaan yang selama ini terbuka luas kepada graduan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang pendidikan sepatutnya lebih diperhebatkan.

J-Qaf, menurut Khairul Anuar, adalah contoh program yang disifatkannya sebagai salah satu langkah penyelesaian untuk mengatasi isu pengangguran di kalangan graduan pengajian Islam itu.

"Oleh itu, kerajaan perlulah meneliti semula betapa peluang tersebut sangat membantu anak-anak Melayu mendalami ilmu Islam secara langsung.

"Implikasi buruk akan berlaku dengan terputusnya generasi penuntut-penuntut Mu'adalah Universiti al-Azhar jika KPT tidak mengkaji baik buruk keputusan yang telah dibuat," katanya. - mns

0 Responses to “Kaji semula keputusan batal MOU antara IPT tempatan dan universiti Al-Azhar”

Post a Comment