Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


Kebebasan akhbar, gerakan pelajar dan debat awam

Oleh H FANSURI

"Dalam mesyuarat hari tu, keputusan sama ada mahu berdemo atau tidak, hanya 50-50 sahaja, tiba-tiba Puad Zarkasyi beri kata putus, iaitu kita semua perlu demo untuk bantu dia," kata Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ketika menceritakan pengalamannya yang lalu.

Zaman-zaman itu adalah antara zaman yang mencabar ketika beliau menjadi wartawan Harakah dengan gaji sekitar RM400 kurang lebih. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) dan hal itu menyebabkan wujudnya desakan untuk membela beliau termasuk beberapa orang teman lagi.

Dia yang kami temui petang itu, berwajah lusuh dengan kerut wajahnya yang begitu rusuh. Tapi, rusuh di hati mungkin meningkat dua kali lipat, malah barangkali tiga kali ganda!

Selesai bertempur dengan tarikh ajal akhbar Harakah pada Selasa malam Rabu, maka sepanjang Rabu itulah hari-hari yang agak santai untuk anak-anak muda ini berbual dengan Ahmad Lutfi.

Hilman dan Firdaus, kedua-duanya daripada Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) mahu menyerap himpunan pengalaman yang berserakan dalam kenangan Ahmad Lutfi.

Petang Rabu itu, ada acara Sesar (Sembang Santai Rabu) di Harakah. Namun, akhirnya pertemuan itu terus dilanjutkan ke Ampang kerana kedua-dua mereka mahu tahu perkembangan sejarah pergerakan pelajar Islam pada masa-masa yang lalu.

Pada mereka, mungkin pengarang akhbar itu mampu sedikit sebanyak memberikan imbuhan maklumat.

Akhirnya, selang tidak berapa lama, semangatnya pulih semula, lalu dia berhasil menghimpunkan tenaga baru ketika melambakkan kenangan lama kepada kami.

"Pernah suatu ketika, kami masuk rumah, dan ambil selipar masuk dalam rumah, selepas itu kami keluar ikut pintu belakang. Terpaksalah buat begitu sebagai suatu helah untuk kelirukan polis dan para pengawal," katanya ketika menceritakan pengalaman yang lalu.

Lalu, beliau mengalihkan kisah tentang seorang menteri pelajaran yang dijemput hadir ke Dewan Besar UTM Semarak. Kata beliau, ada kalangan pimpinan pelajar ketika itu yang meminta pimpinan kerajaan itu 'mengucap' semula.

"Dia berang, lalu dia berkata, "Mereka ini saya tahu, tidak ramai sangat, hanya ada 15 orang saja.

"Memang betul kami ada 15 orang saja, dalam keadaan sayap wanita tak ada langsung. Ini kerana, zaman itu peralihan kepimpinan ulamak, termasuk pergelutan politik yang hangat, menyebabkan tiada langsung penyertaan siswi dalam kumpulan kami sebab mereka takut," kata beliau lagi.

Menyentuh pembabitannya dalam peristiwa lalu, nampak jelas beliau terkilan kerana ada menteri menipu dalam Perhimpunan Agung Umno, dengan menyatakan bahawa tiada mahasiswa yang telah ditahan ISA, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Menteri itu berkata, tuan-tuan nak percaya siapa? Nak percaya laporan Harakah atau saya selaku menteri pendidikan Umno?" tambah beliau.

Harakah ketika itu melaporkan Ahmad Lutfi ditahan ISA sedangkan menteri tersebut menafikannya. Mungkin, sengaja dia bercerita begitu sehingga menampakkan bahawa dia seolah-olah telah 'mencabar' kedua-dua pimpinan pelajar itu.

Pada Ahmad Lutfi, 15 orang siswa di UTM Semarak, dalam angka yang kecil mampu berbuat sesuatu di kampus berbanding kedudukan siswa hari ini yang jauh lebih ramai berbanding dahulu.

Lalu, hal itu dijawab Hilman dengan katanya - dalam kampus berlaku campurtangan yang sangat berleluasa.

"Sampaikan ada wakil NC dalam mesyurat Majlis Perwakilan Pelajar," katanya. Sementara Firdaus yang membuat kajian berhubung gerakan pelajar ghairah bertanyakan soalan demi soalan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai penyelidikannya.

"Oh! Ya kah!?" Ahmad Lutfi kelihatan terperanjat apabila mengetahui situasi itu. Saya yang menonton bualan petang itu, makin tertekan dalam diam. Ada banyak kejadian buruk yang menimpa siswa mutakhir ini, tapi tidak sempat diluah secara terbuka.

Politik kampus memang pahit ditelan. Pahit maungnya mengalahkan hempedu. Ia membabitkan dendam, iri hati oleh kalangan TNC HEP ke atas siswa-siswa mereka sendiri.

Saya saksikan sendiri bagaimana suatu petang ketika hujan keras menimpa UM, kalangan siswa Akademi Pengajian Islam (Api) ini sedang bertempur dengan para pengawal di tepi tangga Perdana Siswa, bangunan yang menempatkan pejabat HEP itu.

Ada dendam yang saling terbuku di hati mereka ketika melihatkan kebejatan moral dalam kalangan pentadbir universiti hari ini. Teringat pula pepatah Mongolia yang menyatakan - "Kotoran di dalam hati lebih buruk daripada kotoran di atas pakaian."

Tetapi, untuk lebih adil, Hilman berkata juga - bahawa kenyataan pimpinan PR dan menteri BN lebih kurang sama sahaja apabila berlakunya desakan-desakan untuk melakukan rundingan.

"Kami pernah bincang. Susah juga mahu hantar memorandum. Dan, dalam pertemuan itu, apabila isu yuran kampus dinaikkan, hujah pihak kerajaan seperti bil air, api, minyak naik turut digunakan pihak pembangkang juga," kata beliau.

KEBEBASAN SUDUT PIDATO SEKADAR KOSMETIK

Manakala, dendam ke atas anak-anak muda berhaluan kiri ini sangat jelas, menjalar dalam kejadian sekatan ke atas sudut pidato mereka. Jika mahasiswa yang sehaluan dengan pegangan 'aqidah' politik kepartian HEP, maka pidato mereka akan diluluskan.

"Sudut Pidato di UKM tu, Khaled Nordin datang rasmi pagi, kami pun naik pidato petang itu, polis tiba-tiba terus datang minta kami hentikan.

"Akhirnya, universiti minta kami beri teks ucapan yang kami nak ucapkan nanti. Teks itu mesti diberi kepada mereka sekurang-kurangnya seminggu sebelum kami mahu berucap di sudut pidato itu," kata Hilman.

Saya termenung lagi. Kedudukan ini lebih kurang sama dengan kejadian Berita Kampus di USM dahulu. Ada saja 'gate-keeper' yang mahu memantau penulisan di akhbar itu sebelum mahu disiarkan untuk bacaan warga kampus.

Beralih kepada isu debat dan pidato, Ahmad Lutfi teringat kisah Mahathir yang menyifatkan Malaysia adalah 'Negara Islam'. Dan hal itu mendapat sanggahan di pihak PAS. Ekoran itu, dokumen Negara Islam diterbitkan.

"Tapi, arwah Ustaz Fadhil Noor tidak mahu berdebat menggunakan dokumen Negara Islam itu kerana baginya lebih baik menggunakan peluru Umno sendiri seperti hal penyelewengan, rasuah dan hal-ehwal dalaman Umno sendiri.

"Ustaz Fadhil nampak lebih berhati-hati dengan penggunaan istilah Arab-Kafir Zimmi, Kafir Harbi," katanya sambil menghuraikan sisi terbaik berhubung teknik debat mantan Presiden PAS tersebut.

PENGAMAL MEDIA ALTERNATIF WAJIB BERSATU!

Menurut beliau, debat mencari kebenaran amat sukar disebabkan ada agamawan berhujah mengguna al-Quran dan hadis sehinggakan, jika ada sanggahan, maka penyanggah itu akan dilihat seperti menyanggah Al-Qur'an.

"Jadi, ulamak pembaharu yang nak buat perubahan dalam parti ini mesti hadam terlebih dahulu 'kitab' yang dipegang oleh ulamak pimpinan itu.

"Kalau agamawan itu pegang suatu kitab dan kita tolak hujah itu dengan menggunakan kitab lain, maka kita gagal," kata beliau.

Sebenarnya, menurut kacamata saya, debat dalam parti agama ini jauh lebih baik berbanding Umno yang ternyata menyimpan dendam dan memeram geram dalam diam disebabkan pimpinan partinya yang kurang berdebat dengan ahli-ahli bawahan.

Kata ahli bijak pandai moden, kebebasan adalah bidan kepada demokrasi. Apatah lagi, dengan cabaran zaman ini kebebasan akhbar yang meluncurkan debat-debat awam adalah suatu tuntutan yang sangat mendesak.

Penutupan, pemberhentian permit penerbitan akhbar tentu sahaja bakal mencatas segala polemik dan debat awam yang hidup segar, berkembang menghijau dalam masyarakat.

Jika kerajaan takut berdebat dengan rakyat, berikanlah ruang dan kesempatan kepada akhbar-akhbar di negara ini untuk menyusun debat dan polemik yang berterusan agar rakyat bebas melepaskan marah-marah sehingga wujudnya damai selepas terlepas bebanan kemarahan itu.

Banyak contoh kebaikan daripada debat terbuka ini. Rakyat semakin tenang selepas membuang bahang api dendam yang marak itu.

Mungkinkah akibat lama memendam rasa kerana tidak mahu membayar komisen kapal selam, akhirnya tumbuh dendam yang lama diperam dan akhirnya meletus tindakan tidak terkawal iaitu dengan membunuh Altantuya, model wanita Mongolia itu?

Pepatah Mongolia ada menyatakan, "Lebih baik bertengkar dengan sabar daripada damai pura-pura." - Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Wawancara di Tunas Cipta

Wawancara Tunas: Ali Bukhari Amir
OLEH: Nazira Mohd Noor

1. Apa bidang penulisan saudara?
Antara tumpuan saya ialah isu kemahasiswaan, universiti, isu semasa dan puisi. Jujurnya saya cenderung ke arah puisi sebab cara kita memajukan idea dan pandangan itu jauh lebih cepat berbanding artikel panjang dan cerpen yang berjela-jela.

2. Bila bermula?
Secara umumnya, ia bermula pada tahun 2000-an barangkali ketika surat pembaca saya tersiar dalam Dewan Masyarakat. Bermula di situlah rasanya idea dan pandangan saya mula mendapat perhatian dan tempat dalam aliran arus perdana.

3. Di mana karya pertama dihantar dan di mana karya pertama disiar/terbit?
Kalau tidak salah ingatan saya, secara seriusnya, ia tersiar dalam Dewan Siswa. Tulisan itu ada kaitan dengan gerakan kemahasiswaan dan Auku. Itu berlaku sekitar 2001 atau 2002 kalau tidak salah ingatan saya.

4. Siapa yang memberi dorongan?
Ayah saya antara pendorong selain ibu. Ayah kerap melihat tulisan saya keluar dan beliau membuat salinan fotokopi lalu menunjukkan hasil tulisan saya itu kepada keluarga. Dan, kawan-kawan di universiti adalah antara penyumbang kepada keghairahan saya menulis.

Malah, apabila mereka sedar saya boleh menulis, mereka meminta bantuan saya menulis idea dan pandangan mereka di dada akhbar.

5. Mengapa memilih bidang penulisan?
Penulisan sudah jadi darah daging saya. Saya fikir mungkin suatu kebetulan juga, sanak sauadara dan ahli keluarga saya samada yang jauh atau dekat ada yang menjadi wartawan di beberapa buah akhbar tanahair.

6. Bagaimana mengasah bakat?
Pada saya, bakat terasah dengan sendirinya jika kita berminat meluaskan pengetahuan. Jika kita suka berfikir, merenung dan cuba menjawab pertanyaan yang sentiasa wujud di dalam diri, maka tindakan menulis itu akan lahir dengan sendirinya.

7. Apa yang membuatkan saudara seronok berkarya?
Pertamanya menulis menyebabkan kita rasa pengetahuan kita makin berkembang. Kita sedang menjelajah ke sebuah daerah yang baru. Misalnya, ketika kita mahu menulis hal ekonomi, maka ini secara tidak langsung memaksa kita membuka buku ekonomi.

Demikian juga jika kita terlintas mahu menulis tentang sesuatu tema berhubung sejarah sesuatu tempat. Maka secara tidak langsung, kita terpaksa membaca kajian mengenai sejarah tempat tersebut. Ringkasnya, berkarya menyebabkan pengetahuan bertambah.

8. Bila idea datang?
Ilham datang tak tentu masa. Pendek kata, ia tiba pada waktu kita tenang. Ketika sedang berkecamuk hati dan fikiran dengan bebanan hidup, ilham sukar menjengah. Tapi, sisi yang gelap dan kehidupan yang sukar seseoran penulis itu adalah sebahagian daripada sumber ilham juga.

Maka, ada baiknya jika mengarang saat hati sedang berkecamuk, itu membuatkan selera mengarang kita bertambah kuat, mengenyangkan perasaan gundah gulana sekali gus menendang keluar lapar dahaga ekoran kekeringan ilham pada waktu senang. Waktu senang, tidak bermaksud waktu tenang. Ini berbeza.

Tenang tidak bermaksud hidup senang dan mewah. Tenang bermaksud, kita punya masa lebih untuk bertafakur dan berfikir. Dalam solat misalnya, ilham mengalir lancar.

Kadang-kadang, sedang mengarang itu ilham juga terpancar dengan tiba-tiba. Di dalam pengalaman saya, kita perlu bersedia selalu dengan pena dan kertas. Kalau kita menaiki motor, motor pun kadangkala saya hentikan kalau perlu semata-mata untuk mencatat hal baru. Paling memenatkan ialah, kita terpaksa bangun tidur ketika hampir lena.

Baru kita tutup mata, tiba-tiba idea dan ilham untuk menulis sesuatu melimpah turun dari langit pada masa itu juga. Jadi, kalau tak tulis masa itu, nanti hilang, langsung terlupa.

9. Di mana tempat saudara dapatkan idea?
Macam-macam tempat. Kadang-kadang di Perpustakaan Negara. Kadang-kadang singgah di mana-mana lobi hotel berhawa dingin selama dua, tiga jam untuk membaca, mencatat sesuatu. Idea kebanyakan datang hasil daripada bualan kita bersama teman-teman.

Kadang-kadang, ada kawan putus cinta, seorang makcik yang kita temui di hospital akan bercerita hal masalah buah pinggangnya. Paling mudah, kalau kita ke kenduri kampung, akan selalu ada orang-orang tua yang duduk berbual-bual darihal masalah kesihatannya.

Kita boleh mengetahui cara-cara, dan langkah mereka mengatasinya, tentang bagaimana sikap kelakuan anak-anak mereka ketika mengetahui kesakitan orang tua mereka. Semua adalah ilham yang mungkin boleh diluncurkan dalam berkarya.

10. Siapa yang memberi tunjuk ajar?
Guru wartawan saya T S Lanang seorang penulis yang masyhur suatu masa dahulu. Dia banyaklah membantu saya termasuk ayah yang selalu memberikan galakan. Mereka bukan menetapkan sebarang peraturan menulis. Menulis adalah karya seni kreatif. Dan, bagi saya tidak perlulah ia diajar dengan berlebihan. Ia akan timbul dengan sendirinya.

Mereka telah menyatakan sokongan ketika saya berdepan dengan masalah-masalah tertentu khususnya yang membabitkan isu kontroversi di kampus. Melihatkan sikap, cara guru itu berjuang mempertahan saya, maka itulah yang menaikkan semangat saya.

Pendek kata, mereka bukan banyak memberi tunjuk ajar berhubung teknik penulisan, tapi menekankan soal semangat dan jiwa menulis dan sikap mempertahan kebenaran. Dan, mungkin boleh saya katakan – kita ketandusan watak dalam daerah ini, sebuah daerah yang menghimpunkan generasi muda yang bertenaga dalam mempertahan idea mereka.

11. Mengapa saudara berkarya?
Kita berkarya kerana kita punya idea yang perlu dilafazkan. Mengarang bermaksud kita sedang cuba memadam rentung-rentung keresahan yang lama terperap bagaikan sekam membara di dada. Pada saya, penulisan bagaikan sejenis rawatan terapi juga.

Sebagai Muslim, kita berkarya demi Tuhan untuk kesejahteraan umat. Kita hidup untuk memperdagangkan idea. Dagangan idea dan ilham ini akan sentiasa berkekalan hingga berabad lamanya. Kita mungkin tidak panjang usia. Tetapi idea dan pemikiran tetaplah kekal sehingga berakhir usia dunia ini.

Hal berkarya kerana duit dan wang, itu perkara kecil kerana kita boleh dapatkan wang ini dengan pelbagai cara dan saluran. Ada yang bekerja sebagai penjawat awam dan swasta, berniaga sendiri dan sebagainya. Jadi, jika berkarya semata-mata wang, sangatlah rendah mutu, nilai dan harga diri kita sebenarnya. Tapi, hujah sebegini tidaklah bermaksud wang tidak penting. Apa-pun, niat berkarya mesti bertunjangkan semangat cintakan kebenaran.

12. Bagaimana saudara menghadapi kerenah penerbit?
Hingga kini, saya masih belum ada pengalaman membukukan catatan atau menulis novel, menulis buku dan sebagainya. Walaubagaimanapun saya selalu ada keinginan untuk maju selangkah ke depan untuk mengarang buku dan novel dalam tempoh terdekat.

Pengalaman rakan-rakan penulis yang telah berdepan dengan penerbit sebelum ini adalah antara panduan saya, khasnya peringatan mereka berhubung hak cipta.

13. Apa cabaran sepanjang berkarya / memulakan bidang ini?
Cabaran paling getir ialah pengurusan masa. Semua kita diberikan masa 24 jam sehari. Dan selebihnya tergantung atas urusan kita untuk membedak-bedakkan masa, mengagih-agihkan waktu untuk memenuhi hajat keperluan peribadi.

Sebagai wartawan / penulis sambilan, saya sedikit selesa dan bebas berkarya. Kita boleh menyusun bahan-bahan untuk dihantar kepada mana-mana pihak yang mahu menerima karya-karya kita. Ada kalangan mereka yang tidak membaca karya kita.

Itulah antara cabaran yang biasa kita terima. Ada editor yang tidak mengenali kita. Bagaimana kita mahu memasarkan diri dalam pasaran idea yang sentiasa bergolak dengan aneka ragam pemikiran dan gempuran budaya majmuk? Ini pun cabaran juga.

14. Pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang terlibat dalam dunia penulisan?
Pengalaman manis bagi saya ialah ketika menerima anugerah tempat kedua bagi puisi Balada Burhan di Kota Raya pada 23 Februari 2007. Puisi itu memuatkan suatu kritikan kepada pihak yang enggan memansuhkan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris).

Pertandingan sayembara itu dikelolakan bertujuan meraikan hari ulangtahun Jubli Emas, penubuhan DBP tahun lalu.

Saya rasa berpuas hati kerana pihak jawatankuasa pertandingan telah pun meluluskan ungkapan ‘ahmak’ yang saya gunakan dalam puisi tersebut. Ungkapan ini jelas keras, kerana ia merupakan kritikan terbuka ke atas pihak yang masih mengekalkan PPSMI itu. Jadi, saya berpuashati dari sudut itu.


Ini semua berlaku di atas dorong Tuhan belaka. Beberapa bulan selepas kemenangan itu, secara kebetulan, Mastera pada tahun itu telah mengadakan bengkel puisi di Samarinda, Kalimantan Timur (Kaltim), Indonesia.

Ada sedikit kelucuan di sini antara saya dengan Tuhan. Saya minta Tuhan gerakkan hati juri memilih karya puisi saya dan semoga dengan itu, puisi tersebut bolehlah saya jadikan sebagai senjata untuk memerangi PPSMI. Saya minta Tuhan buktikan kekuasaanNya.

Rupa-rupanya, Tuhan benar-benar mahu menunjukkan kuasaNya. Antara wakil Malaysia; Saifullizan Yahaya, Sahrunizam A. Talib, saya diberikan bilik yang paling luas dan lebar. Nama saya memang tercatat sebagai penghuni di situ, sehinggakan rakan-rakan saya tak dapat mengambil kamar tersebut. Walaupun ini cuma kes terpencil, tapi saya menanggapi hal ini sebagai satu pengajaran rohani juga.

Sepertinya inilah hadiah dan anugerah dari Allah. Sebetulnya, saya tak pernah mengirim puisi ke mana-mana pertandingan. Tapi, sekali saja dikirim, dengan izinNya saya menang pula. Saya pendatang baru. Tetapi, tak sangka melonjak secepat ini. Saya berdoa, semoga saya terus berada dalam lapangan ini, insya Allah.

15. Pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan sepanjang terlibat dengan dunia penulisan?
Pengalaman pahit ialah ketika didakwa oleh pihak universiti sekitar tahun 2004, 2005 di atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) di universiti dahulu. Syukurlah akhirnya dengan semangat, azam saya meneruskan menulis, akhirnya saya lengkap berijazah.

Di kampus saya suka menulis hal politik, isu kontroversi membabitkan hal semasa. Oleh kerana kecenderungan itu saya dihukum dengan satu ketetapan, syarat, bahawa saya perlu menulis dengan kebenaran HEP (Hal Ehwal Pelajar). Ini pengalaman pertama.

Yang kedua, ialah ketika mula bekerja di sebuah akhbar tabloid. Saya dengar, bagaimana orang-orang menerima suapan dan akhirnya pihak atasan akhbar menarik kembali berita-berita laporan berkaitan politik. Ini sangat mengecewakan.

Tapi, inilah lumrah yang seharusnya diterima dalam dunia persuratkhabaran.

16. Apa pandangan saudara tentang karya popular dan karya serius?
Apa pandangan kita mengenai sikap penerbit universiti yang mahu terbitkan karya-karya picisan, novel remaja yang santai dan genre lainnya. Tentu agak pelik bukan?

Tapi, dalam dunia ini kita mesti raikan apa-apa jenis karya pun. Biarkan kedua-dua karya ini hadir. Yang jadi persoalan bagi sesetengah pihak sekarang, adakah badan penerbitan kerajaan mahu menaja karya popular atau karya serius?

Jika badan penerbitan swasta mahu terbitkan karya popular, hal itu tiada masalahnya. Tiada bantahan. Tetapi, apabila badan penerbitan kerajaan mahu terbit dan menaja karya-karya popular, maka di situ timbul polemik dan bantahan pun mula kedengaran.

Ini kerana, apa yang diharapkan ialah badan penerbitan awam yang berkait rapat dengan kerajaan ini boleh menaja dan menerbitkan karya serius yang kurang mendapat tempat di pasaran. Karya ini bukan sahaja perlu dibantu kerana ia kurang mendapat tempat, tetapi kerana ia dilihat sebagai karya yang membantu dalam perkembangan akliah masyarakat.

Dan, saya difahamkan, bahawa debat polemik antara karya popular dan karya serius itu timbul ekoran ura-ura ada badan penerbitan kerajaan yang mahu terbitkan karya popular. Itu saja. Tapi, karya popular itu harus diraikan. Pengkarya itu tetap seorang manusia yang mahu mengisi ruang kekosongan.

Ringkasnya, karya popular dan karya serius perlu diraikan kehadiran mereka. Tapi, pihak penerbitan awam harus mengutamakan penerbitan karya serius yang bernilai tinggi dalam perkembangan akliah masyarakatnya.

17. Apakah usaha DBP untuk memartabatkan sastera berjaya?
Zaman berubah. Teknologi dan pemasaran perlu diubah. Suatu masa dahulu melalui DBP dan semua majalahnya ini, mereka dah berjaya mencetak nama-nama seperti T S Lanang, guru wartawan saya dan Noor Azam yang terkenal lewat kolumnya, Perspektif di Dewan Masyarakat. Kini, mungkin majalah-majalah tidak lagi mencetak orang-orang seperti itu.

Sastera itu berjaya melalui kehadiran seseorang tokoh. Memang ramai tokoh-tokoh yang hadir. Namun, seperti yang saya katakan tadi, zaman berubah. Dan, majalah DBP mungkin menerima pesaingnya yang kuat daripada segi pemasaran dan pengedaran. Masyarakat pula punya pilihan untuk membeli majalah-majalah ini.

Saya fikir, jikalau kita mahu sastera dirakyatkan, DBP perlu manfaatkan segala ruang dan potensi yang ada. Apa kelebihan DBP berbanding syarikat swasta yang lain? Mereka ada jaringan yang kuat dengan kerajaan sebagai agensi kerajaan.

Kekuatan inilah yang tiada pada syarikat penerbitan swasta. Saya fikir, DBP boleh minta diwujudkan hubungan kerjasama bersama Kementerian Pelajaran untuk pasarkan bahan-bahan bacaan sastera di sekolah-sekolah.

Paling penting, sebagai strategi mengukuhkan kewangan, DBP mungkin boleh meminta pihak kementerian membelanjakan sejumlah besar bahan bacaan sastera seperti Dewan Sastera dan Tunas Cipta ini untuk dipasarkan di pustaka sekolah-sekolah.

Secara tak langsung, kaedah dan strategi ini akan menaikkan ghairah pelajar dalam usaha meminati sastera di sekolah sekali gus memantapkan lagi hal ehwal kewangan DBP. Jika makin kukuh kewangan agensi kerajaan ini, secara tak langsung, akan lebih banyak acara sastera yang boleh kita jalankan lagi.

18. Cadangan saudara untuk meningkatkan mutu penulisan?
Tidak dapat tidak, sesiapa yang mahu bangkit menuju cita-cita sebagai seorang penulis, mereka harus banyak membaca dalam pelbagai bidang. Itulah cetusan kepada segala ilham. Kemudian, seseorang itu perlu sentiasa berdialog dan berdebat.

Pada saya, orang yang ingin meningkatkan mutu penulisan, perlu mewujudkan pustaka di rumah terlebih dahulu. Kita perlu mengenal buku-buku yang terbaik yang selalu menjadi bahan rujukan. Kemudian, barulah bermulanya proses penulisan.

Penulisan-penulisan ini berbeza-beza genre. Kalau ia melibatkan penulisan berhubung isu sejarah atau ia membabitkan disiplin ilmu yang berat-berat mungkin kita perlu susun rak-rak pustaka di rumah dengan buku-buku yang terkait dengan tema-tema penulisan dalam bidang yang kita suka itu.

Jika kita bercita-cita mahu jadi seorang novelis, mungkin kita perlu susun pelbagai buku-buku rujukan berhubung teori-teori dan kritikan sastera. Pendek kata, cara-cara untuk kita tingkatkan mutu penulisan itu tergantung kepada tahap pembacaan kita sendiri.

19. Cadangan saudara untuk memeriahkan lagi dunia penulisan?
Tidak dapat tidak DBP sebagai salah satu agensi kerajaan perlu lebih kerap menggunakan saluran televisyen sebagai salah satu usaha untuk mendekatkan diri mereka kepada rakyat. Saya lihat, ada ‘trend’ terkini yang disusun oleh gerakan kepenggunaan melalui tv.

Setiap minggu mereka menyajikan isu-isu terkini mengenai kepenggunaan dan pada akhir rancangan mereka akan menyediakan kuiz kepada penonton. Mungkin dengan cara inilah juga kita dapat merakyatkan budaya menulis. Tidak lagi budaya membaca.

Atau, dalam erti kata lain, kalau kita benar-benar mahu memeriahkan lagi dunia penulisan, maka jangan lagi kita tumpukan kepada semboyan budaya membaca, tapi hendaklah kita merebakkan seruan, hidupkan budaya baru, iaitu budaya menulis di mana-mana.

Sedikit demi sedikit, masyarakat awam, golongan cerdik pandai akan mula tertanya-tanya kepada kita, apakah itu maksud budaya menulis? Maka, ketika bermulanya pertanyaan ini saya fikir masanya telah bermula untuk memeriahkan dunia penulisan itu.

Saya fikir, perlu lahir atau perlu dilahirkan seorang tokoh penulis muda yang jiwanya itu selalu merakyat kepada anak-anak muda. Ini kerana tenaga anak-anak muda inilah cahaya penggerak zaman. Apabila kita menyebut pendekatan merakyat, maka tokoh-tokoh itu tak mungkin lagi terperap dalam bilik kuliah, dewan seminar berhawa dingin.

Pendekatan merakyat itu bermaksud seorang tokoh penulis itu mampu hadir di mana pun dalam ruang, medan tak rasmi. Ini akan memudahkan anak-anak muda untuk sama-sama menyertai acara tidak rasmi tersebut.

Dalam dunia hiburan misalnya, memang jadual artis padat dan jadual mereka dimasukkan dalam akhbar. Para peminat mereka boleh kunjungi tempat artiste yang mereka suka. Hal ini sama juga dengan penulis yang boleh diibaratkan sebagai artis juga. Mereka ini ada pengikut mereka sendiri.

Jadi saya fikirlah, untuk permulaan, mungkin Tunas Cipta dapat hebahkan jadual peribadi tokoh-tokoh penulis ini untuk tatapan para peminat dan pengikut mereka. Semoga dengan cara ini, akan semakin rancak dan meriahlah dunia penulisan kita.

Jadual-jadual acara sastera ini kebanyakannya tertumpu di Rumah Pena dan tempat yang bukan kunjungan khalayak ramai. Ini seperti pergerakan eksklusif dan tidak merakyat. Di sini, mungkin kita perlu galakkan tokoh-tokoh penulis itu supaya selalu berada di KLCC, atau mana-mana tempat terbuka yang selalu dikunjungi umum.

20. Senaraikan hasil karya saudara dan hadiah yang pernah dimenangi.

Karya-karya yang pernah tersiar:-
1. Surat Castro kepada Sharon, (Cerpen, Tunas Cipta, November, 2006)
2. Doa Pak Sutan Muda (Cerpen, Dewan Sastera, Oktober, 2008)
3. Penyakit Mahasiswa Alaf Baru (Rencana, Dewan Masyarakat, Oktober, 2008)
4. Raja Suran, Pencetus Idea Kapal Selam Pertama (Rencana, Dewan Budaya, Oktober, 2008)
5. Aku punya sejuta nyawa (Puisi, Berita Minggu, 17 Disember, 2006)
6. JPN perlu rekod DNA bendung jenayah (Rencana, Utusan Malaysia, 23 Oktober 2007)
7. Singkap: Dakwah Nabi Syu'aib (Rencana, Dewan Agama dan Falsafah, Disember, 2006)
8. Mengaktifkan masjid untuk berfungsi setiap masa (Rencana, Utusan Malaysia, 16 Februari, 2007)
9. Memperhebat usaha perangi rasuah (Rencana, Utusan Malaysia, 23 Mac, 2007)
10. Antara fahaman hedonisme dan ... (Rencana, Al-Islam, Disember, 2006)
11. Falsafah Cinta Mat Motor (Rencana, Al-Islam, Disember 2006)
12. Harga Sebuah Kebenaran (Puisi, Tunas Cipta, Disember 2006)
13. Di manakah .. (Puisi, Metro Ahad, 31 Julai 2005)
14. Rasuah Mengundang Kehancuran (Artikel, Dewan Budaya, Mac 2007)
15. Apa motif filem cinta Indonesia? (Artikel, Dewan Budaya, Jun 2008)
16. Kemarahan puncak kekalahan (Puisi, Dewan Sastera, Ogos 2007)
17. Rakaman Duka Penulis Jalanan (Puisi, Dewan Sastera, Januari, 2007)
18. Bahasa Melayu Malaysia Tonggak Bangsa Melayu Sejagat (Artikel, Dewan Budaya, November, 2007)
19. Tanjung Tuan Gunung Angsi (Puisi, Berita Minggu, 19 Ogos 2007)
20. Pemurnian Semula Tafsir.. (Berita Harian, 12 Disember 2006)

Karya yang dimenangi:-
1. Balada Burhan di Kota Raya (Puisi menang tempat kedua dalam Sayembara Mengarang sempena sambutan Jubli Emas DBP, Februari, 2007)

Buku:-
1. Di Tengah Arus (kompilasi para pemenang puisi dan cerpen sempena Sayembara Mengarang Jubli Emas DBP)

Kaji semula keputusan batal MOU antara IPT tempatan dan universiti Al-Azhar

Ali Bukhari Amir
Mon | May 26, 08 | 5:59:05 pm MYT

KAHERAH, 26 Mei (Hrkh) - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula keputusan pembatalan persefahaman (MOU) antara institut pengajian tinggi Malaysia dan Universiti al-Azhar yang berpusat di Kaherah, Mesir.

Presiden PMRAM Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya melihat perjanjian persefahaman tersebut sangat membantu anak-anak Melayu dalam meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam pengajian Islam.

"Bidang tersebut tergolong dalam bidang kritikal di mana ia telah melahirkan modal insan yang berkualiti sesuai dengan agenda besar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa dalam soalan tambahannya kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Idris Haron bertanya kenapa MOU antara kerajaan Mesir dan kolej-kolej tempatan yang menghantar pelajar ke tahun tiga mereka ke al-Azhar telah dibatalkan.

Menjawab soalan tersebut, Dato' Idris memberitahu Parlimen bahawa antara sebab keputusan itu dilaksanakan adalah kerana permintaan pasaran ke atas graduan lulusan agama adalah minimum dan hal itu seterusnya mendorong kerajaan menghadkan penghantaran pelajar ke universiti al-Azhar.

Mengulas hal itu, Khairul Anuar berkata, kewujudan cawangan Universiti al-Azhar di Negeri Sembilan misalnya, adalah contoh bahawa kerajaan tidak wajar menyekat peluang graduan-graduan IPT tempatan untuk meneruskan pengajian di kampus induk universiti tertua itu.

"Merujuk dakwaan yang menyatakan perjanjian persefahaman itu tidak menepati pasaran kini, PMRAM melihat ia bukan sebab yang kukuh untuk terus dibatalkan kerjasama itu. Realiti sekarang menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan graduan di bidang pengajian lain turut berlaku.

"Apakah kerana sekadar faktor kekurangan kehendak pasaran semasa, maka terus sahaja disekat perkembangan ilmu agama dalam kalangan pelajar-pelajar di Malaysia?" kata beliau.

Tambah beliau, peluang pekerjaan yang selama ini terbuka luas kepada graduan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang pendidikan sepatutnya lebih diperhebatkan.

J-Qaf, menurut Khairul Anuar, adalah contoh program yang disifatkannya sebagai salah satu langkah penyelesaian untuk mengatasi isu pengangguran di kalangan graduan pengajian Islam itu.

"Oleh itu, kerajaan perlulah meneliti semula betapa peluang tersebut sangat membantu anak-anak Melayu mendalami ilmu Islam secara langsung.

"Implikasi buruk akan berlaku dengan terputusnya generasi penuntut-penuntut Mu'adalah Universiti al-Azhar jika KPT tidak mengkaji baik buruk keputusan yang telah dibuat," katanya. - mns

Menunggu panggilan HEP UTM, bilakah waktunya?

Pada 14 April lalu, saya baru menyedari bahawa HEP UTM mengirim sepucuk surat elekronik (e-mel) kepada saya melalui ibnuamir@gmail.com. Saya jarang buka e-mel tersebut. Saya kerap memeriksa ibnuamir@yahoo.com.
Bagaimanapun, inilah contoh surat tersebut dan saya sertakan juga surat balasan saya kepada HEP UTM berhubung laporan saya dalam Harakah Daily termasuk Detik Daily.Saya sunting sedikit sedikit beberapa bahagian yang diperlukan bagi tujuan keselamatan sumber saya itu.
Salam: Pertanyaan mengenai pelajar UTM yang menjadi exco PAS Inbox
xxx Mon, Apr 14, 2008 at 3:24 PM
To: ibnuamir@gmail.com
Cc: shm@utm.my, tnchep@utm.my
Reply Reply to all Forward Print Delete Show original
xxx
Pejabat Hal Ehwal Pelajar,
Universiti Teknologi Malaysia
81310 Skudai Johor
14 April 2008 *RASMI*
-------------------------------------------------------------------------------------
Kepada:
Encik Ali Bukhari Amir,
di Ibnuamir@gmail.com
di Ibnuamir@yahoo.com
Kuala Lumpur.
Assalamu'alaikum wrbt saudara Ali Bukhari Amir,
Saudara/Tuan,
*MEMOHON MAKLUMAT PELAJAR*
Adalah saya diarah merujuk kepada perkara di atas.
2. Dimaklumkan bahawa pihak HEP telah membaca beberapa artikel tuan yang telah dikeluarkan di Harakah Daily pada 2 hb April 2008 dan 4 hb April 2008 di Harakah Daily yang dianggap mempunyai kaitan dengan pihak HEP UTM.
3. Sehubungan itu, sukacita jika tuan dapat memaklumkan dan menjelaskan kepada pihak saya sumber atau pengirim maklumat yang sistem pesanan ringkas (SMS) tersebut yang telah dipetik oleh tuan di dalam tiga (3) artikel saudara bertajuk "Umno-BN mula berkempen di UTM", "Jika PAS menang, akan wujud universiti pondok dan Taliban" - kata TNC" dan "Gambar markas pelajar UTM dirakam pihak universiti".
4. Pihak HEP juga mendapati bahawa pihak tuan menulis seseorang bernama ___, seorang ahli exco Dewan Pemuda Pas Negeri Johor yang memegang jawatan _____.
*Oleh itu, sukacita jika pihak tuan dapat memberikan maklumat lanjut kepada pihak saya mengenai Encik ___ tersebut dan no kad pengenalan beliau untuk tindakan saya mengesahkan status pengajian beliau di UTM.*
5. Pihak HEP juga ingin menarik perhatian pihak tuan terhadap artikel tuan yang terbaru mengenai Universiti ini yang telah disiarkan di dalam portal Detik Daily bertarikh 3 April 2008 jam 6.20 pm yang dipercayai masih berhubungkait dengan Universiti ini dan mesej TNC.
6. Merujuk kepada perkara di atas, sukacita jika pihak tuan sekali lagi dapat *mengesahkan dan memberikan maklumat terperinci mengenai*
siapakah "*seorang exco Pas di selatan tanahair ... dipanggil ke prosiding mahkamah universiti hari ini ...*" untuk tindakan pihak saya seterusnya.
7. Perhatian dan kerjasama pihak tuan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
"*BERKHIDMAT UNTUK NEGARA KERANA ALLAH*"
"*KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA*"
Yang benar,
t.t.
(*Nama Pegawai*) (Jawatan Pegawai)
Pejabat Hal Ehwal Pelajar
Universiti Teknologi Malaysia
Skudai Johor
sk. - Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni)
- Timbalan Pendaftar (Bahagian Perkhidmatan & Kemudahan)
Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTM Skudai.
TAMAT SURAT HEP UTM
-------------------------------------------------------------------------------------
Maka, inilah surat balasan saya terhadap surat HEP UTM tersebut.
Ali Bukhari Amir
Sekolah Pemikiran Kg Baru
d/a:-
xxx
xxx
Jalan Raja Alang
53100 Kg Baru
KUALA LUMPUR
Tel. Bimbit: +6014-3233287
------------------------------------------------------------------------------------------------
18 April 2008
(Nama pegawai)
(Jawatan pegawai)
Pejabat Hal Ehwal Pelajar
Universiti Teknologi Malaysia
SKUDAI, JOHOR

PER: JAWAPAN BALAS TERHADAP MAKLUMAT PELAJAR UTM

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada surat puan bertarikh 14 April lalu dalam e-mel bertajuk, “Pertanyaan mengenai pelajar UTM yang menjadi exco PAS.”

2. Merujuk kepada surat lalu, ingin saya maklumkan bahawa hal maklumat sumber kami dirahsiakan, melainkan sumber sendiri bersedia mendedahkan identiti mereka. Wartawan tertakluk kepada kod etika yang menghalang mereka mendedahkan maklumat sumber.

3. Justeru, maklumat peribadi mengenai ahli exco Dewan Pemuda Pas Negeri Johor itu juga tertakluk dalam wilayah kod etika termasuklah nombor kad pengenalan sumber.

4. Untuk pengetahuan, nombor kad pengenalan cuma diminta jika penulis menulis untuk ruangan ‘Surat Pembaca’ saja. Tidak menjadi keperluan bagi wartawan meminta nombor kad pengenalan sumber jika kenyataan mereka ingin diambil dan jika mereka ditemubual.

5. Merujuk permintaan HEP untuk mengetahui identiti *seorang exco Pas di selatan tanahair … dipanggil ke prosiding mahkamah universiti hari ini …* melalui portal Detik Daily (3 April 2008, jam 6.20 p.m), tidak dapat juga saya memberikan kerjasama kepada pihak tuan, melainkan dengan keizinan sumber tersebut.

6. Bagaimanapun, saya suka menawarkan kepada pihak HEP UTM untuk bermuzakarah bersama saya pada (1) tarikh dan (2) tempat yang sesuai mengikut kelapangan pihak tuan dan saya sendiri. Justeru dari semasa ke semasa pihak tuan boleh menelefon saya untuk memutuskan tarikh dan tempat yang sesuai antara kita.

7. Ingin saya jelaskan juga bahawa dalam pertemuan itu, tidak dapat saya beri maklumat tentang semua sumber saya selama ini kerana seperti termaklum, kod etika wartawan tidak mengizinkan saya berbuat demikian.

8. Pertemuan itu mungkin sedikit sebanyak dapat menjelaskan kepada saya tentang hal bersifat ideologi, fahaman, pemikiran yang membentuk sikap HEP menggunakan Auku ke atas warga kampus sekali gus menjelaskan ideologi, fahaman dan pegangan saya yang menjadi asas, kenapa saya mempertahan sumber saya sekali gus menulis mengenai peristiwa kehadiran seorang menteri dalam wajah kepartian sebelum ini.

9. Mungkin, ada baiknya pertemuan itu dilakukan atas ‘urusan tidak rasmi’ kerana saya ragu-ragu samada proses mahkamah yang berlangsung sebelum ini berkaitan urusan rasmi universiti atau terkait dengan ‘urusan peribadi’.

10. Muzakarah antara kita atas nama peribadi (jika ia atas nama peribadi) itu amat baik dilakukan bagi mengelakkan penggunaan peruntukan ‘masa’ dan ‘wang’ universiti (badan berkanun) sebagai milik kerajaan dan rakyat.

11. Segala kerjasama pihak HEP UTM dalam urusan dan permintaan ini, saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.

"Berkhidmat Demi Rakyat Sejagat, Warga Kampus, Islam dan Muslimin.”
"Dilarang Melarang.”

Yang Berkhidmat,

Ali Bukhari Amir
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Tel. Bimbit: +6014-3233287
Blog: http://karyafansuri.blogspot.com
MSN Messenger: ibnuamir
Yahoo Messenger: ibnuamir

s.k - Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni)
- Timbalan Pendaftar (Bahagian Perkhidmatan & Kemudahan)
Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTM Skudai.
-------------------------------------------------------------------------------------
TAMAT SURAT SAYA KEPADA HEP UTM
Nota: Sehingga kini, saya masih menunggu kalau-kalau pihak HEP UTM ingin bermuzakarah berhubung isu di atas.

Jika PAS menang, kita jadi universiti pondok dan Taliban - kata TNC HEP UTM?

Oleh Ali Bukhari Amir

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar universiti Teknologi Malaysia (UTM) mungkin telah mengirim aduan kepada seorang Exco Pemuda PAS Johor Nazman Ibrahim tentang kes kempen Umno-BN di universiti tersebut pada 1 Mac lalu.

Lalu, berita itu disampaikan saudara Nazman. Menurutnya, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Seri Mohd Khaled Nordin adalah individu yang telah pun memasuki kawasan universiti atas nama kementerian, diiringi pasukan konvoi bermotor.

"Masalahnya, mereka masuk dengan menonjolkan imej kepartian. Anak-anak muda pakai baju BN mengelilingi kawasan kampus tersebut," kata Nazman. Tidaklah diketahui anak-anak muda itu dibawa daripada kawasan dan bahagian mana.
Seorang pelajar UTM pada malam itu juga mengirim gambar-gambar TNC HEP, Khaled Nordin dan anak-anak muda Umno-BN kepada saya melalui Yahoo Messenger. Tapi, apa yang menarik perhatian saya bukanlah kempen Umno-BN.

Khaled Nordin itu memang orang politik. Beliau dan sesiapa pun yang bergelar politikus, akan menikus di balik bayang-bayang intelektual. Mereka menggunakan apa saja alat dan perkakas demi memelihara kelangsungan politik. Terkini, Khaled berselindung di sebalik universiti untuk berkempen, demikian seorang pelajar itu lagi kepada saya.

Demikian juga anak-anak muda rempit yang entah diupah dari kawasan dan bahagian BN itu. Kedua-dua kumpulan ini; Khaled sebagai politikus dan anak-anak muda itu bukanlah boleh diajak berbincang. Hanya pihak universiti boleh diajak berdebat secara sihat.

Yang penting, kenapa TNC HEP izinkan kehadiran bekas menteri dengan imej kepartian? Saya yakin, pelajar-pelajar termasuklah parti penasihat dan parti penegur (nama lain bagi pembangkang) tidak ambil kisah dengan kehadiran menteri di universiti, asalkan saja tak dibawa lambang parti yang boleh diterjemahkan sebagai kempen dalam universiti.

Kita boleh anggap, tanggap dan terjemahkan semua itu sebagai acara kementerian. Tiada masalah. Kementerian mengusung agenda kerajaan, bukan kepartian. Titik! Semua orang atau kebanyakan orang telah maklum dan 'settle' bab ini. Sekali lagi... Titik!

Yang masih belum selesai adalah soal makam dan darjah pemikiran TNC HEP yang berat sebelah, penakut bertuhankan Auku, menyembah pemerintah mutakhir ini serta mungkin buat selama-lamanya. Pemimpin universiti dulu, tidak ketara politiknya. Politik disimpan saja dalam perut. Tidak menunjuk-nunjuk. Pelajar dan pensyarah pun hormat mereka.

"TNC HEP menganggap universiti akan jadi universiti pondok. Kita akan menjadi seperti Taliban di Afghanistan," kata Nazman yang memegang Lujnah Perpaduan Nasional. Dari apa yang saya faham, kenyataan itu mungkin berpunca daripada kiriman sms TNC. Atau, ia mungkin berpunca daripada hasil perbualan telefon antara pelajar dengan TNC itu.

Inilah isu yang wajib dikuliahkan iaitu tentang tahap pemikiran para pemimpin universiti. Sejak di bangku kuliah, saya tak peduli dengan siswa universiti yang suka berpesta. Tapi, saat TNC HEP dan Ketua Penolong Pendaftar tergedik-gedik menyanyi, oh ini dah lebih!

Pendek kata, apabila pemimpin universiti sudah rosak, jangan diharap anak-anak kampus itu menjadi lebih baik. Apa nak jadi dengan bangsa kita jika pemimpin universiti kita kini sudah terbabas, melebihkan agenda kepartian daripada agenda kerajaan? Rosak bangsa!

Apakah TNC tidak boleh berpesan kepada Khaled Nordin sebelum itu agar tidak dibawa segala lambang kepartian jika mahu masuk ke universiti? Bisik-bisiklah ke Dato' Khaled, "Saya pun orang Umno juga Dato' Khaled, tapi jangan ditunjukkan sangat logo parti tu."

Mak Lang Timah pun pandai jaga maruah Umno-BN

Buletin Utama 2 Mac baru-baru ini menyiarkan liputan berita mengenai Mak Lang Timah di Pendang. Beliau ini pernah menjadi calon di Sg Tiang dan rumahnya tak jauh daripada kawasan taman perumahan saya juga. Mak Lang Timah ini memang sangat masyhur.

Tapi, dalam kenyataannya yang terbaru ketika ditemubual oleh wartawan Buletin Utama, apa kata Mak Lang Timah?

"Saya berkempen pun tidak menonjolkan imej parti. Saya tak bawa logo dacing atau pun orang di sini kata lambang kati. Kalau tidak, orang jadi takut," kata beliau.

Tambah Mak Lang Timah, beliau pergi ke mana-mana pun tak akan bawa logo parti agar penerimaan orang-ramai lebih banyak dan makin terbuka lagi. Demikianlah falsafah, dan pemikiran calon Umno-BN itu. Beliau memang ramai pengundinya berkat amalan itu.

Ertinya, beliau diundi kerana kekuatan peribadi dan bukan kerana parti. Adakah Khaled Nordin, para pensyarah dan pimpinan universiti yang ada cita-cita menjadi calon Umno-BN itu bergantung kepada nama partinya atau kekuatan akhlak dan nama peribadinya? Mereka yang bergantung kepada nama parti bukanlah pemimpin sejati.

Cubalah TNC beri nasihat begini kepada menteri-menteri. Mana mereka berani?

Hatta, calon Umno-BN di kampung sendiri sedar bahawa rakyat dah takut kepada Umno-BN. Bukan kita kata. Calon BN sendiri mengaku, jangan bawa logo, nanti orang takut.

Saya fikir TNC HEP dan cendekiawan universiti kena selalu berikan nasihat positif serta panduan berguna kepada Dato' Khaled supaya meniru-niru gaya Mak Lang Timah. Tidak perlu membawa masuk logo dan lambang parti ke dalam universiti.

Nanti pensyarah dan pelajar semakin takut kepada Umno-BN dan ketakutan kepada parti itu mengatasi ketakutan mereka terhadap pelajar Taliban dan Afghanistan pula. Dan, jika sampai tahap ini, imej siapa lebih parah? Mereka dan keluaga Umno-BN mereka juga.

Putera Henry diajak berperang ke Afhanistan
Alkisahnya, Putera Harry, cucu kepada Ratu Elizabeth di England telah pun pergi berlatih atau berperang betul-betul di Afghanistan. Entah-entah dia diberi ruang berperang dengan puak-puak Taliban agaknya. Menurut laporan, sudah 10 minggu beliau berada di sana.

Asalnya, pemergian beliau dirahsiakan. Tapi, akhirnya sebuah laman sesawang telah pun mendedahkan laporan itu. Akibatnya, telah merebaklah berita tersebut.

"Saya bukannya wira," demikian kata Putera Harry. Mungkin, beliau pun terpaksa hidup dalam suatu sistem pemerintahan yang memaksa beliau memasuki tentera. Jadi, putera itu enggan dirinya dianggap sebagai perwira walaupun terpaksa berentap dengan Taliban.

Berbicara mengenai Taliban, kita tidak dapat mengelak berbicara tentang Musharraf yang sering meletakkan puak itu sebagai sasaran guna meneruskan kekejamannya. Keadaan ini memaksa orang-orang ternama seperti Imran Khan untuk memasuki lapangan politik.

Imran, seorang pemain kriket akhirnya mengambil keputusan menubuhkan sebuah parti untuk melawan Musharraf. Dalam suatu temu bual ringkas di Newsweek, beliau berkata, negara-negara luar perlu lebih mengetahui kebejatan Pervez.

"Saya wujudkan yayasan sendiri bagi membela rakyat yang sukar mendapatkan rawatan di sini," demikian tulis beliau dalam sebuah rencananya dalam majalah antarabangsa itu ketika memperihalkan betapa hebatnya bejat si Musharraf ini.

Saat Benazir Bhutto dibunuh, Presiden Pakistan Pervez Musharraf menipu bahawa puak-puak Taliban itulah yang membunuh Benazir, walaupun satu dunia mengesyaki bahawa Musharraf itulah yang membunuh Benazir, iaitu pesaingnya dalam dunia politik.

Penipuan Musharaf mengenai pembunuhan Benazir ini lebih kurang sama dengan ucapan Najib di Ijok: "Apa kaitan kena-mengenanya antara saya dengan Altantuya?" Padahalnya kita cuma bertanya, gerangan siapa yang meluluskan penggunaan bom yang meledakkan tubuh wanita malang dari Monggolia itu?

Sebab apa pula dengan tiba-tiba Taliban membunuh pihak yang tidak pernah bersalah dan menindas mereka selama ini? Lebih baik Taliban membunuh Musharraf yang amat kejam itu daripada membunuh Benazir. Musharraf juga ada rekod buruk ke atas demokrasinya.

Satu dunia tahu bagaimana Musharaf telah melucutkan jawatan hakim yang membatalkan pilihan raya anjurannya sendiri. Ini rekod buruk demokrasi junta di mana tipu daya sering berlaku sepertimana Abdullah Ahmad Badawi menipu tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat terhadap kira-kira 27 juta rakyat Malaysia.

Jadi, siapa yang teruk? Taliban? Benazir? Musharraf? Najib? Abdullah Ahmad Badawi? Ini soalan yang perlu diperhalusi TNC HEP dan pimpinan universiti yang mengharapkan jawatan menteri atau menyimpan angan-angan tinggi menggunung sebagai calon BN.

Ini soalan yang perlu dijawab sebelum beliau terlalu melulu menuduh universiti kita akan menjadi universiti pondok, negara kita menjadi seperti Afghanistan di mana puak Taliban memerintah. Ini semua hipotesis yang perlukan kajian sebelum diangkat hukum dan teori.

Tetapi sebelum mengulas hipotesis jawablah dulu soalan tentang tipu daya bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika membubarkan Parlimen. Ini tidak perlukan teori dan hipotesis apa-apa. Baik atau tidak tindakan menipu kira-kira 27 juta rakyat Malaysia?

Warkah kepada mahasiswa -1 (Darihal Parti Mahasiswa Negara)

Oleh Ali Bukhari Amir

Kalau tidak salah ingatan saya, sekitar tahun 1999 – 2000 – 2001, saya pernah menulis di dalam laman sesawang e-circle milik PKPIM tentang cadangan menubuhkan Parti Pelajar Malaysia (PPM). Oleh kerana laman itu berbayar sekarang, maka tak dapat disemak lagi rekod tulisan itu. Ini kerana, saya tiada duit dan kad kredit bagi biaya keahliannya secara maya. Saya orang miskin, dulu, kini dan harapnya kemiskinan ini tak berpanjangan.

Sejauh ingatan saya, cadangan itu dikecam, mungkin dicemuh atau mungkin dipersoalkan berhubung sejauhmana relevannya parti itu. Ada juga yang menyokong dengan bersyarat; Presiden Abim pada saat itu akan menerajui parti tersebut. Tapi, itu cerita lama.

Malah ada yang menolak lantaran bertentangan dengan laluan prinsip perjuangan PKPIM yang bersifat Non-Partisan. Banyak lagi pandangan-pandangan peribadi yang tertolak dan ditolak sama ada di luar atau di dalam persatuan-persatuan pelajar.

Tapi, ada juga idea yang diterima dengan separuh masak dengan rasa ketakutan dan tidak ada keyakinan. Paling memenatkan, tidak kurang juga yang menciplak serta mempromosi idea itu sebagai kononnya idea mereka sendiri. Saya kenal siapa mereka itu dan saya tahu bahawa mereka tahu, yang saya tahu bahawa merekalah penciplak idea itu.

[Nota: Ketika menulis perenggan di atas, yakni sebelum menaip nota dalam kurungan ini, saya cuba meniru cemuhan A. Samad Ismail ke atas rakan-rakan seperjuangannya yang dahulunya tidak tergolong dalam kumpulan pejuang bangsa dan pejuang bahasa. Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini saja mereka mula bercakap lalu ditonjolkan sebagai pejuang.]

Mungkin juga, ada pihak mendakwa bahawa beberapa kerat pendokong PKPIM menolak idea ini kerana ia bertentangan dengan prinsip Non-Partisan tadi. Maka, saya cuba minta pandangan orang-orang ISI di UKM yang sezaman dengan Abdullah Abdul Karim.

Kebetulannya mereka adalah rakan-rakan saya di Maktab Mahmud. Adalah, seorang dua yang menolak. Hujah yang diberikan ialah-mereka risau parti ini akan memecahkan PAS. Dan, ada banyak lagi hujah yang dikemukakan yang tidak sanggup saya tuliskan di sini.

Tidak adil dihumbankan tafsiran peribadi begini hanya berbekalkan pandangan bawahan Gamis dan PKPIM pada saat itu. Pandangan orang bawah tidaklah mewakili pandangan keseluruhan jemaah dan persatuan. Maka, dengan kudrat yang tak seberapa, idea itu pun tenggelam untuk beberapa lama. Dan, ia melonjak tiba-tiba dan saya melonjak kesukaan.

Dan marilah kita berbicara tentang hal penubuhan parti baru ini. Sudah tentu saya sokong parti ini 300%. Bagai nak gila saya menyokong parti ini. Malah, akan saya pertahankan ia dengan seluruh kekuatan dan segenap jiwa raga saya … Insya Allah Ta’ala.

Terus-terang sajalah, idea penubuhan parti ini, adalah berdasarkan kekecewaan. Dan saya pun termasuk dalam golongan itu juga. Kecewa dan patah hati ketika melihat Auku tidak pernah dibatalkan melalui Parlimen sejak kelahirannya pada tahun 1971.

Di tempat manakah ia lahir? Siapa bidannya? Sperma dan ovumnya bermuara dari mana? Siapakah yang bertanggungjawab mengasuhnya? Siapakah yang membelai akta ini serta menguatkannya dengan vitamin kebencian dan menyuapkan zat-zat ketakutan yang bakal menumbuhkan kekuatan Auku? Mahasiswa kita diserang histeria sejak itulah …

Biar saya jawab satu-persatu berasaskan pandangan jujur dan ikhlas. Pandangan ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Ia lahir di Parlimen, bidannya adalah seorang Menteri Pelajaran yang bernama Dr Mahathir. Sperma sokongan dan ovum bantahan berjalin di antara suara pembangkang dan kerajaan sehinggalah diperanakkan anak luar nikah bernama Auku.

Hasil senggama, lantunan suara pembangkang dan kerajaan yang bergema dalam Dewan Rakyat itu telah melahirkan pelbagai tokok tambah pindaan lagi bagi menguatkannya.

Ia membesar dan dimanjai dibelai diasuh oleh TNC-TNC HEP yang sering menyuapkan benih-benih ketakutan ke dalam batang tubuh mahasiswa. Dan benih-benih ketakutan ini telah pun mengembang lalu mengganas, membuas sehingga menyebabkan histeria dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah. Di atas ketakutan terhadap lembaga pontianak Auku inilah timbulnya semacam kekuatan dan keperkasaan TNC-TNC HEP.

Di manakah hantu penanggal mula beroperasi? Ia bermula ketika seorang manusia yang telah menyatu jiwanya dengan kuasa jahat sedang tidur. Ketika inilah, kepala manusia itu tadi akan tercabut lalu mencari mangsa di waktu malam. Bagaimana orang kampung cuba menewaskan hantu ini? Iaitu, dengan cara membalikkan tubuh manusia tadi supaya tidur meniarap. Selesai beroperasi, kepala manusia (hantu penanggal) ini akan kembali ke asal.

Pada ketika inilah insan yang menyatu dengan kuasa jahat ini akan terperangkap apabila wajahnya telah ‘dipasangkan’ ke belakang tubuh badan. Demikian petua yang dibekalkan oleh orang-orang tua kita pada zaman dahulu.

Auku sememangnya berpuaka. Kalau tidak, tentulah ramai yang tidak takutkan akta itu. Di mana Auku lahir, maka di situlah jenazahnya akan disemadikan. Jadi, hal inilah yang cuba dikembangkan kepada abang-abang dan kakak-kakak anda dulu. Tapi, saya gagal.

Saudara-saudara,

Anda telahpun melangkah ke suatu daerah dan wilayah yang tidak pernah dijangkau pun oleh sesiapa sebelum ini. Tidak akan pernah ada orang yang terfikir di zaman saya untuk menubuhkan sebuah parti seperti ini. Semua ini berlaku kerana pelajar di zaman saya itu berjiwa kerdil dan sentiasa hinggap di benak mereka beberapa pertanyaan …

Mampukah kita menerajui sebuah parti? Siapakah yang akan menyokong kita nanti? Dan, apabila melangkah jangan lagi mengalah kerana anda sedang cuba mencipta sejarah.

Dalam usrah terdahulu, telah saya isytihar bahawa Nadim adalah putera Melayu pertama muncul dalam lipatan kenangan lalu membungkus sejarah silam sebagai pelajaran untuk putera-putera bangsa pada hari ini. Sebagai parti biasa yang baru muncul, kita tentu akan ditimpa kecelakaan sebagai mana anak-anak kecil biasa.

Tapi, kita bercita-cita besar untuk mati sebagai Nadim. Mati dibunuh di usia muda itulah suatu kemuliaan. Hari ini, para pembesar kita mula menaruh rasa curiga yang bermacam-macam terhadap kemunculan bayi ini, persis mimpi raja-raja yang zalim di masa lalu.

Musa dihanyutkan ke Sungai Nil agar selamat daripada tangan tentera Firaun dan Ibrahim disembunyikan dalam gua agar selamat daripada tangan Namrud. Bersuaralah atas nama keadilan, kebenaran dan kita akan sentiasa dilindungi Tuhan, insya Allah Ta’ala.

Yang kurang bernasib baik akan dibakulsampahkan, diletak di dalam longkang, mangkuk tandas dan kalau bernasib baik akan terus hidup bernafas dan terpelihara sehingga ke hari tua. Sebagai manusia, kita pasti mati. Dan mati itu pula ada dua macam. Mati secara baik atau sebaliknya. Umno, jika ia mati pada hari ini, maka ia mati dalam keadaan berdosa.

Kalau parti bayi ini mati, maka kematiannya dalam keadaan suci, bersih dan tidak pernah berdosa apa pun kepada rakyat. Hal ini yang kita harus perhatikan bersungguh-sungguh. Tiada cacat celanya parti bayi ini. Ia boleh hidup dan mungkin mati muda. Tiada celanya.

Yang saya risaukan di kemudian hari ialah apabila PMN akan berkuasa dan ketika itu dia cuma mengulang semula dan mencetak kembali helaian naskhah sejarah yang penuh titik hitam lama seperti yang pernah dicoret dan dilakar oleh parti tua di atas sekeping kanvas negara yang bernama Persekutuan Tanah Melayu, Malaya Merdeka sebelum ini.

Saudara-saudara sekalian,

Kritik dan saran ini akan disampaikan kepada mana-mana yang suka mendengarnya serta mahu pula memperbaiki keadaan. Parti-parti sebelum ini tumbuh atas nama kekecewaan. Dan, hal kekecewaan ini pun tiadalah salahnya dan tiadalah pula masalahnya.

Kekecewaan itu ada dua macam. Kecewa yang baik atau kecewa yang tidak baik. Tuhan pernah kecewa dan marah dengan umat-umat sebelum Nabi Muhammad. Akibat dari itu, mereka dimusnahkan satu persatu lalu digantikan dengan umat lain. Ini sunnatullah …

Hj Abdullah Pak Him dan Hj Ahmad Badawi tentu kecewa ke atas cucunya dan anaknya yang bernama Abdullah bin Ahmad Badawi bin Abdullah Pak Him. Abdullah Pak Him telah memberi tarikh kemerdekaan dan Ahmad Badawi berjuang menyuarakan masalah Palestin dalam mesyuarat parti. Hari ini, Allah telah berikan segalanya kepada Abdullah.

Tetapi, Abdullah ingkar dan tidak meneruskan perjuangan ayahnya dan datuknya. Ketika Abdullah diberikan jawatan oleh Allah sebagai Menteri Luar Negara, apakah yang telah dilakukan ke atas nasib umat Islam di Palestin khasnya kini negara ada nama dalam OIC?
Adakah Abdullah ada kesungguhan sama seperti datuknya untuk memerdekakan wilayah Selatan Thai? Tatkala Abdullah berucap merasmikan jambatan baru di selatan Thai baru-baru ini, beliau menyeru kerajaan Thai agar dapat melabur dalam projek ECER.

Apalah yang nak diharapkan ke atas Abdullah lagi jika pemikiran kapitalis, saudagar dan peniaga seperti ini bertapak dan bersarang di fikiran beliau? Beliau sudah tiada lagi nilai perjuangan seperti ayahanda dan nendanya. Terus-terang, saya kecewa dengan Abdullah!

Tidakkah Abdullah membaca ratapan rakyat Selatan Thai yang diluahkan melalui Buletin Utama TV3 ketika pilihan raya di negara gajah putih itu sedang berlangsung?

“Siapa pun yang memerintah, yang kita harap adalah keselamatan,” kata penduduk desa.

“Tentera telah sekat kawasan di sini sampaikan wakil calon pilihan raya kami tidak boleh masuk,” kata seorang wakil Parti Wehdah.

Segala yang tiada pada Abdullah Pak Him dan Ahmad Badawi telah diberikan Allah ke atas Abdullah sebagai Perdana Menteri dengan kedudukannya yang agak kemas di dalam OIC dan lain-lain pertubuhan di peringkat antarabangsa.

Apakah Abdullah tak mencermati semua ini di televisyen? Benar-benar saya kecewa dan kepada saudara-saudara inilah tempat saya lemparkan kekecewaan ini. Ini adalah kecewa yang baik, bukan kerana tidak mendapat tempat dalam parti, lalu menubuhkan parti baru.

Saudara sekalian,

Betulkan niat dan minta Tuhan campakkan keikhlasan. Insya Allah, satu perjuangan yang bermuara daripada keikhlasan tak akan pernah tumpas dan ditumpaskan oleh suatu kuasa apa pun, melainkan Allah sendiri yang mahu mencabut nafas dan nyawa parti bayi ini.

Telah lama kalian bersuara di Suhakam dan saudara bekalkan kitab pusaka yang berjudul penyelewengan PRK di kampus universiti tertentu, dan kitab pusaka itu tak pernah dibaca pun oleh sesiapa di dalam Parlimen. Kini, kita perlu masuk ke dalam dan membacanya!

Biarkan lagu-lagu taranum yang didengungkan dari kitab itu mengganggu lena mereka. Tangan inilah yang menaip dan menulis berita mengenai perjuangan saudara dan tangan ini jugalah yang akan berterusan memanjangkan hasrat saudara yang murni itu.

Dan tangan inilah yang sentiasa bersedia menyampaikan teguran kepada saudara jika ada kepincangan yang berlaku di dalam parti bayi ini.

Tuhan, saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan …

REVOLUSI SAMPAI MATI …

HIDUP … BERAKSI … BERPARTI … BIAR MANDIRI …

http://www.youtube.com/watch?v=X6vEsJVVToQ

Sekolah Pemikiran Kg Baru
5:19 pagi, 9 Januari 2008.

Syiar Krismas lebih meriah berbanding Aidil Adha di ibu kota?

Oleh Ali Bukhari Amir

Ketika Umat Islam merayakan Aidil Adha ini, dan laungan takbir bergema selama empat hari ini, telah tertegak sebuah pokok Krismas raksasa yang menjulang tingginya separas bumbung Suria KLCC di tengah ibu kota itu. Pucuk pokok itu setia mencakar atap gedung perniagaan.

Abdul Rahman Daud, 24, salah seorang pengunjung di situ sedang asyik meneliti tiket wayang di Tanjong Golden Village (TGV) di tingkat 3 di gedung membeli belah itu. Hari raya ini beliau tidak dapat balik beraya di Pahang memandangkan rumah keluarganya tenggelam separas 8 kaki dihanyutkan deras air sungai yang melimpah dengan cepat sekali.

"Raya di sini saja. Lagi pun, ramai kenalan IPT yang menerima nasib yang sama," katanya dengan wajah yang bersalut kedukaan. Sebenarnya tadi kami terserempak di Kinokuniya, sebuah gedung yang sarat dengan muatan buku-buku antarabangsa, tempatan dan Jepun.

Dari gedung buku itu di tingkat empat, kami pergi ke TGV yang terletak di lantai tiga. Ada dua pasangan remaja Melayu (mungkin Muslim) sedang berpegangan tangan sambil topi Santa Claus terpacak megah di atas kepala mereka. Topi merah putih seperti warna bendera Sang Saka Merah itu berbulu tebal, mungkin berbaldu dan kelihatan lembik sehingga puting bucu di atas itu terjatuh menutup telinga. Kadangkala ia terjatuh di bahagian belakang kepala.

Dua tiga hari sebelum pulang beraya, dalam perjalanan menuju ke Kelang dengan komuter dari KL Sentral, hal yang sama berlaku. Pada hari itu, saya terlihat dua remaja lelaki dengan sengaja meletakkan topi Santa Claus di atas kepala mereka.

Di mana-mana gedung membeli belah utama di ibu kota ini, di Pavilion misalnya, saya terlihat ada anak Melayu yang menyulam perhiasan di pokok Krismas sebagai perhiasan. Persitiwa yang seperti ini walaupun mungkin tidak melambangkan jatuh aqidah, namun ia menampar hati nurani Muslimin bagi mereka yang masih tebal dengan keislamannya.

"Mungkin dalam hal para pekerja Melayu kita boleh beri sedikit kelonggaran dengan berfikir, bahawa mereka sebenarnya terpaksa berbuat begitu kerana mencari rezeki. Mungkin mereka hias pokok Krismas kerana dibayar upah," kata Abdul Rahman, anak kelahiran Bera ini.

Saya dapat bersetuju dengan Abdul Rahman, tapi betapa halnya dengan remaja yang dengan sengaja memakai topi Santa Claus dalam komuter tempoh hari? Adakah mereka ini didesak oleh keadaan, dibayar berbuat begitu ataupun sekadar menerima seadanya segala budaya luar yang bukan milik kita? Jelas, mereka cuma memenuhi waktu libur dan kerana suka fesyen.

Pada 20 Disember lalu, lima hari sebelum perayaan Hari Natal, separuh bangunan White House telah dijilat api. Media melaporkan, kejadian itu berlaku di bilik pejabat Dick Cheney. Mujurlah kebakaran ini berjaya dipadamkan. Tetapi, dalam nahas itu juga White House masih sempat lagi mengirim kira-kira 895,000 kad Hari Natal yang diedarkan seluruh pelusuk dunia.

Syiar Natal berkembang dengan ghairah dan kental, dimantapkan lagi oleh pokok Krismas di KLCC ini. Jika gedung perniagaan ibu negara ini tertegak sebuah pokok raksasa di bahagian tengahnya, White House telah membina 33 pokok raksasa yang lebih kurang ketinggiannya.

"Walhal, gedung ini dibina dengan syarikat GLC, Petronas sebagai nadi tonggak bangunan ini. Sekali imbas, kerajaan yang menguasainya. Kenapa syiar Aidil Adha tidak jelas?” rakan baru saya menyoal. Dan soalan itu, entah siapalah yang mampu menjawabnya?

Persoalan yang dibangkitkan Abdul Rahman itu ada kebenarannya. White House menjemput tetamu seramai 60,000 ke pentadbiran neraka itu sempena perayaan mereka. Sebanyak 20,000 biskut disediakan dan 450 kg udang besar disajikan sebagai hidangan santapan istimewa.

Namun, gema takbir raya atau dan ayat suci sempena sambutan Aidil Adha yang sepatutnya akan dilagukan di mana-mana itu telah ditenggelami kebanjiran syiar agama bukan rasmi di Malaysia. Di mana teguran agensi agama persekutuan sedang Petronas, GLC ada di situ?

Bukankah disunatkan takbir itu diratibkan selama beberapa hari selepas Aidil Adha? Jadi, dalam tempoh itu, sementara menunggu ketibaan Hari Natal, di mana wirid menghilang?

Kita mungkin dapat menerima hakikat bahawa setidak-tidaknya sebuah gedung perniagaan besar milik bukan Melayu dan bukan Muslim tidak akan mengendahkan hal ini kerana meningkatkan syiar Islam dan menerapkan pengaruh kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan bukan sebahagian daripada amanat yang dipikul (walaupun mereka patut bertanggungjawab juga dalam hal ini sebagai warga Malaysia)

Tapi, kalau gedung perniagaan yang ada di dalamnya syarikat GLC; milik kerajaan sendiri tidak berupaya meningkatkan kesedaran itu, bagaimana warga bukan Melayu dan bukan Muslim mahu menghormati agama dan bahasa rasmi di negara ini?

Ketika ini, dunia sedang menonton pertandingan calon Democrat dan Republican dalam merebut jawatan Presiden USA. Antara yang menarik, ialah pertarungan antara wakil gereja Evangelical Huckabee dan wakil gereja Mormon Romney untuk calon Republican.

Perpecahan Kristian lebih menebal berbanding agama lain di dunia. Ini jelas terpancar dalam krisis perebutan jawatan itu. Mormon sering dianggap sebagai suatu aliran 'cult' yang terasing daripada Kristian itu sendiri. Malah, daripada dua aliran itu tercetak ribuan pecahan lagi.

Huckabee (Evangelical) ketika disoal di dalam temu bual bersama Newsweek, enggan mengulas kedudukan Mormon sebagai 'cult'. "Jika saya jawab soalan saudara, ramai pihak akan berkata, Ah! Anda bercakap seolah-olah anda seorang yang arif di bidang agama.

"Oh, anda sedang menggambarkan diri anda sebagai hakim yang memutuskan kebenaran antara agama-agama," demikian kata Huckabee. Agama di Barat ini sebenarnya semakin merosot kalau dibandingkan dengan Islam yang semakin berkembang di Barat di mana gereja-gerejanya telah dibeli oleh saudagar Muslim untuk dijadikan masjid.

Demi menyelamatkan maruah agama, suatu akta warisan digubal bagi mengelakkan gereja yang usang dibeli oleh Muslim untuk dijadikan binaan lain. Di sini jelas kelihatan peranan politik bagi menyelamatkan agama yang pernah gemilang di Barat itu. Gejala keusangan gereja berleluasa di Britain. Anak muda termasuk masyarakat telah kurang menghayati agama.

Dalam konteks Amerika, White House dilihat sebagai kuasa penentu yang menyambung warisan syiar perayaan itu, bersanad dari zaman-berzaman walaupun hukum perundangan agama tidaklah tertegak sebagai landasan negara sekular tersebut.

Wacana kristologi di negara kita masih lagi di tahap rendah berbanding Indonesia. Kalau ada pun nescaya ia terzahir secara perbincangan tertutup dan tidak meluaskan di mana perdebatan hanya terhad kepada mereka yang ahli-ahli sahaja.

"Apalah bezanya umat Islam dan Kristian saat ini. Kedua-duanya mengalami peristiwa bencana alam yang lebih kurang sama. Mereka dan kita atau berdepan banjir, gempa bumi dan ribut ketika dua musim perayaan agama besar ini menjelang tiba.

"Namun, dalam apa jua keadaan syiar agama mereka bagaikan banjir di mana limpahannya tetap meluncur di mana-mana negara walaupun hukum-hakam agama itu diketepikan," kata rakan saya tadi. Dia seorang anak muda biasa dan kami tiada latarbelakang agama yang tinggi.

Kata-kata itu meresap masuk, menerobos ke ruang fikir sehingga menjadi bahan fikiran saya kini. Hukum agama sebagai inti perundangan negara dan syiar agama, sejauhmana golongan pemerintah terfikirkan hal seumpama ini?

Ada dua sendi agama yang dilupakan. Hukum-hakam dan syiar agama. Selain hukum-hakam dan perundangan, syiar juga harus ditegakkan. Kelebihan di Barat – walaupun hukum-hakam sekular, tapi syiar agama tetap wujud. Di negara kita, selain perundangan Islam tidak tertegak, syiar makin malap di luar masjid seperti tempat tumpuan umum sebagai pasaraya itu.

Syiar menyebabkan manusia akan terdorong dan didorong hatinya untuk mengamalkan agama. Apabila manusia mula mengamalkan syariat agama dalam jiwanya, raganya akan aktif bertindak untuk menuntut pelaksanaan hukum-hakam yang selaras dengan maksud yang dicita-citakan oleh al-Quran itu sendiri akhirnya.

Inilah satu kelebihan White House dari aspek tertentu, iaitu lembaga itu memperuntukkan sebanyak-banyaknya dana demi mempertahan syiar Kristian. Fakta yang dipersembahkan di dalam sebuah majalah antarabangsa menyebabkan hati saya dipagut rasa kagum.

White House menyiapkan 10,000 hasil kraftangan, 263 meter kalungan bunga hiasan, 700 kek penganan beraneka rupa warna, 270 kilogram asparagus, 347 perhiasan pokok Krismas, 1,200 liter eggnog, 232 susunan bungaan dan daunan yang dipilih atau dianyam menjadi lingkaran bunga, 73 sukarelawan dan lain-lain lagi.

Aduhai, pemimpin kita cuma meningkatkan syiar sekadar rumah terbuka dan tidak cukup waktu untuk memanjangkan gelombang dan getaran syiar itu ke mana-mana. Yang ada, tv menyiarkan takbir bersama PM, artis dan tentera. Mujur ada. Syukur... tapi takat itu sajakah?

Mungkinkah kehebatan syiar agama ini menyebabkan anak-anak Melayu dalam komuter dan pasangan sejoli di KLCC tadi telah didorong untuk menjadikannya sebagai fesyen ikut-ikutan? Hal ini pun harus menjadi perhatian, renungan dan menungan kita bersama juga.

Dalam suatu artikel yang sudah lama saya baca, seingat-ingat saya sama ada Muhammad Rashid Redha atau Syeikh Muhammad Abduh pernah ditegur seorang paderi mengenai Islam ini. Dan teguran inilah menjadi bahan fikiran dan penulisan tokoh pemikir Islam ulung itu.

Paderi itu berkata, “Seandainya saya Muslim, pasti saya akan berdakwah dengan lebih hebat lagi mengenai Islam. Tetapi, saya dapati banyak ajaran Islam yang tidak disampaikan oleh pendakwah walhal agama kami mempunyai ajaran yang amat sedikit untuk dikembangkan.”

Di manakah silap kita? Dan bukankah setiap Muslim itu pada hakikatnya adalah pendakwah?