Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


Kritik dan saran ke atas mahasiswa - Biar musuh bencikan kebenaran di pihak kita

Oleh Ali Bukhari Amir

Saya cuba mengelak untuk menulis kenangan lama. Khuatir dituduh mengangkat diri sendiri. Tapi, saya paksakan menulis untuk dijadikan renungan, pengajaran dan bahan fikiran semua, khususnya pelajar. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan batas sempadan.


Suatu masa dahulu, Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan, En. Norizan Khalid tak perlu walau seminit pun untuk memaksa saya mengaku bahawa tulisan di Harakah dan Harakah Daily berjudul ‘Demokrasi Universiti Sudah Mati” itu milik saya. Saya baca sekilas, saya perhatikan bahawa memang itulah tulisan saya dan tidak ditulis orang lain yang mahu menjebak saya dengan Auku. Apabila saya yakin, terus saya mengaku.

Beberapa pihak pernah tanya, “Kenapa mengaku?” Jawapan saya berbagai pula, “Dah betul saya yang tulis, nak buat macam mana?”, “Ini masanya untuk berperang dengan HEP, kalau tidak sekarang, bila lagi?”, “Dah betul apa, HEP luluskan Aman Damai Idol? Dah betul, apa nak takut?” … dan macam-macam lagi jawapan saya.


Di sinilah saya rasa jawapan yang terbaik, paling betul, benar, tepat dan jelas. Iaitulah saya mahu melangkah seperti mana nabi-nabi terdahulu melangkah. Apakah sifat nabi Muhammad s.a.w? Siddiq (benar), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan), Fatonah (hikmah kebijaksanaan).


Saya mohon kepada Tuhan, jika boleh sedapat-dapatnya keempat-empat sifat ini akan mengalir dalam jiwa, ruh, dan menjadi amalan daging darah saya. Kita mesti bercakap benar seboleh-bolehnya walaupun pahit, tulisan kita itu mestilah dipercayai dan untuk itu kita perlu mencari sumber yang baik dan selalu membuat rujukan, aktif menyampaikan (tabligh) kebenaran menolak kebatilan dengan hikmah (fatonah). Wallahu ‘alam.

Saya boleh terlepas kalau saya kata bukan saya tulis, tapi orang lain yang tulis. Saudara Ahmad Lutfi ketika menelefon saya di bangku kuliah dulu, mungkin pelik dengan pengakuan saya. Malah dalam tulisannya, beliau mengakui saya boleh terlepas jika tidak mengaku.


Sekarang, mari kita masuk dalam perbualan kedua. Jika Abu Jahal dan Abu Lahab masih hidup, dan jika Harakah Daily boleh menemubual mereka ini, antara satu soalan yang ingin saya tagihkan jawapan daripada mereka ialah, “Kenapa kalian memusuhi Muhammad?”


Jawapan mereka dapat saya hidu kalaupun mereka enggan mengulas atau cuba berselindung di sebalik alasan lain. Adapun jawapan yang sebenarnya berbunyi lebih kurang begini: “Bahawa kami memusuhi Muhammad, kerana ajarannya.” Demikian, jawapan singkat yang difikirkan sebagai benar menurut perhitungan saya. Jika sidang pembaca dapat bersetuju dengan jawapan kedua-dua beradik ini, atau ingin mengetahui kenapakah mereka menjawab sedemikian, maka ingin saya teruskan buah fikiran peribadi.


Pertama sekali, (dengan tiada niat menghina Baginda) Nabi Muhammad s.a.w bukan pencuri unta, bukan merompak arak, mengganggu anak-anak gadis penari gelek yang manis jelita. Dalam sirah ada ditulis keinginan Muhammad (ketika masih kecil) menyertai keraian dan pesta di sebuah desa (mungkin bentuknya seperti Aman Damai Idol, parti keramaian dan konsert-konsert seperti sekarang ini).

Tapi, nabi kerap tertidur keletihan dalam perjalanan kerana Allah mahu selamatkan jiwanya dari terus mengikuti keraian itu. Apabila majlis tamat, baru baginda terjaga. Akhirnya, setelah beberapa kali percubaannya untuk menghadiri majlis itu tidak berjaya (akibat letih dan tidur dalam perjalanan), maka nabi tidak lagi pergi meraikan majlis yang dihiasi maksiat itu. Demikian antara hal-hal buruk yang tidak diberi ruang langsung oleh Tuhan ke atas nabi itu.


Nabi Muhammad sentiasa bercakap benar, tidak menipu sehingga digelar al-Amin. Kepercayaan orang ke atas beliau janganlah sesiapa pun mempertikaikan lagi. Kalau tidak silap, pernah baginda menghimpun orang-ramai di suatu tempat, lalu baginda berkata, “Adakah kalian percaya bahawa di sebalik gunung ini akan datang seekor unta?” Pendek kata semuanya percaya kerana Muhammad tidak menipu.

Akhirnya, nabi membuat seruan awal yang menggoncang Mekah dan menyebabkan masyarakat Arab berpecah dua. “Jika demikian, aku mahu sampaikan bahawa akulah pesuruh Allah. Sembahlah Dia… kalian akan dibangkitkan di hari perhitungan…” Pendek kata, itulah intipati ajaran nabi-nabi yang terdahulu daripada baginda.

Tiba-tiba Abu Lahab bertempik keras! “Tabban laka ya Muhammad, alihaza jama’tana?” (celaka engkau wahai Muhammad, adakah kerana ini engkau himpunkan kami?) Gegak gempita tempikan Abu Lahab ini mungkin lebih keras daripada tempikan Abdullah ke atas penganjur perhimpunan menuntut pembersihan pilihan raya anjuran Bersih.


Pada ketika itulah segera turunnya wahyu yang menyebutkan “Tabbat yada abi lahabin wa tabb…sehingga akhirnya). Demikian surah itu diulang-ulang dalam solat sehingga menimbulkan keresahan dan tekanan mendadak ke atas Abu Lahab dan isterinya kerana surah terbaru itu mengutuknya sehingga kiamat!

Berbalik kepada wawancara Harakah Daily bersama Abu Jahal dan Abu Lahab tadi, maka kita dapat kesimpulan di sini bahawa ruang permusuhan itu terisi dengan bara dendam kesumat yang memusat kepada intipati ajaran Nabi Muhammad dan bukannya sikap baginda yang mendatangkan kesusahan ke atas penduduk di situ.

Mereka memusuhi ‘ajaran’ dan bukan memusuhi ‘perangai’ nabi. Ini kerana, seperti yang termaklum (sekali lagi, tanpa niat mencacatkan peribadi baginda), baginda tidak merompak, mencuri dan mengganggu wanita-wanita jelita yang boleh mengundang kemarahan para penduduk di situ. Pendek kata, Abu Lahab dan Abu Lahab akhirnya akan mengaku di dalam wawancara bersama Harakah - “Sebenarnya, kami memusuhi Muhammad kerana dia baik dan kami ini jahat!”

Kepada pendakwah Islam hari ini (khasnya pelajar Islam) yang selalu berselawat ke atas baginda samada dalam solat atau di luar solat, yang kerap membaca al-Qur’an dan menghadiskan kalam nabi lewat ceramah – usrah, ingin kita muhasabah kembali hal ini dengan bersungguh-sungguh.


Mari kita tanya diri sendiri – adakah HEP dan Aspirasi membenci kita kerana ajaran yang kita bawa atau pun kerana sikap kita? Ketika di universiti, hal ini yang sering menjadi bahan fikiran saya. Biar Bani HEP dan Kabilah Aspirasi memusuhi kita kerana ajaran dan pemikiran dan bukannya sikap buruk kita. Pendek kata, jika ada surat layang sekali pun, biar mereka benci surat layang kerana termuat di dalamnya hal-hal yang benar dan bukan fitnah.

Jika mereka benci isi surat layang itu kerana fitnah, maka hal itu adalah kebencian yang sah. Tiada salahnya dengan kebencian itu. Ini kerana, sesiapa pun tidak suka dirinya difitnah. Kita tahu surat layang itu tidak diletakkan nama dan diletakkan nama samaran kerana ingin menyelamatkan diri sendiri daripada ancaman Auku. Hal itu tiada salahnya dan tiada masalahnya. Hal menyelamatkan diri daripada Auku adalah sah.

Kita boleh teruskan menulis surat layang asalkan isinya memuatkan fakta yang benar. Bekas Ketua Pengarah BPR Harun Hashim melakukan siasatan dengan bermodalkan surat layang pada suatu masa dahulu. Ertinya, kaedah menulis surat layang adalah sah dan diterima dalam usaha menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan.


Maka, formula yang ingin diketengahkan di sini ialah – untuk menegakkan kebenaran itu, bagi mereka yang dapat menulis surat dengan meletakkan nama sebenar, mereka ini adalah orang yang mulia. Tapi, bagi mereka yang tidak mampu mendedahkan diri dan meletakkan nama samaran saja, hal itu tidak mengurangkan kemuliaan diri dan tidak pula menjatuhkan mereka di lembah hina. Ini kerana, sikap membela yang benar itu pun sudah meletakkan mereka sebagai pejuang yang mulia.

Syahadan, inilah perbuatan yang hina – menulis surat layang di mana isinya berbau fitnah. Dan yang paling hina ialah – menulis surat atau surat layang fitnah yang ditulis dengan menggunakan nama orang lain. Contohnya, kita menulis sepucuk surat atau surat layang di atas nama seorang pemimpin Aspirasi di mana beliau tidak menulis pun hal tersebut.

Saya menulis begini kerana saya menerima e-mel daripada seseorang yang mengirim kenyataan media di atas nama seorang ketua Aspirasi. Isi kenyataan itu tidak mendatangkan kesukaan buat diri saya kerana pandangan itu mengkritik perhimpunan Bersih. Tetapi, atas nama kebebasan media, saya kirim kenyataan itu kepada editor. Saya pegang pesan Voltaire: “Saya tidak suka kepada idea anda, tetapi hak anda untuk bersuara tetap saya berikan.”

Tidak berapa lama selepas itu, barulah saya sedar bahawa kenyataan itu bukanlah asli datangnya daripada pimpinan Aspirasi itu. “Bukan saya. Jangan keluarkan. Saya tak pernah hantar apa-apa. Perkara macam ni dah berlaku dalam Berita Harian dan Utusan. Boleh saya dapat alamat e-mel tersebut?” sms ini terbang hinggap ke telefon bimbit 19 November lalu.

Apabila saya panjangkan hal ini kepada saudara Ahmad Lutfi, beliau juga kurang senang berhubung kejadian ini. “Hal ini menjatuhkan maruah akhbar kita,” katanya. “Lebih baik menulis mengguna nama samaran sendiri daripada menggunakan nama orang lain.”

Saya cuma harap kejadian ini tidak berulang. Apakah motif berbuat sedemikian atas nama ingin membela kebenaran? Sebagai wartawan berhaluan kiri dan mewakili akhbar kiri, terkadang kita berasa diperalatkan untuk tujuan yang batil dan tidak munasabah. Letakkan kedudukan kita sebagai pengkritik yang baik agar musuh hormatkan kita.

Bertindaklah sebaiknya sehingga musuh hormat kita sebagaimana Abu Jahal dan Abu Lahab menghormati Nabi Muhammad s.a.w. Mereka benci bukan kerana sikap buruk nabi, malah ajaran kebaikan nabi itu sendiri yang mereka perangi.

Dalam konteks gerakan kemahasiswaan hari ini saya yakin, jika Harakah wawancara dan bertanya wakil Bani HEP dan Kabilah Aspirasi, “Kenapa benci propelajar?” Jawapannya, mungkin dua, “Pertama, kami memusuhi ajaran mereka. Kedua, mereka pemfitnah.”

Sebagai pengikut Nabi Muhammad, mari kita muhasabah bersama, adakah tindakan, ucapan dan tulisan kita menepati sifatnya – siddiq, amanah, tabligh dan fatonah? Jika tidak dapat menuju dan menepati sifat itu, setidak-tidaknya jangan kita cenderung bertindak sepertimana Bani HEP dan Kabilah Aspirasi bertindak.

Saya faham, mungkin promahasiswa akan berkata–mereka ini jauh lebih teruk berkali ganda daripada promahasiswa. Tapi, ingatlah bahawa kita dan mereka sama saja, sama-sama bukan malaikat. Tapi, kita mesti bertanggungjawab dan jangan lagi mencemarkan perjuangan suci ini-perjuangan membela kebenaran dan keadilan menurut acuan Nabi Muhammad s.a.w.

Kalau saya menipu Ketua Pengawal Keselamatan dan menyatakan orang lain menulis atas nama saya, maka gugurlah sifat siddiq yang menjadi perhiasan akhlak Nabi Muhammad. Kita akan berjaya bukan dengan kekuasaan dan kekuatan saja. Tapi dengan akhlak. Bukankah Nabi berkata: “Hanyasanya, aku ini dibangkitkan untuk mengindahkan akhlak”?

Wallahu ‘alam …
Sekolah Pemikiran Kg. Baru, 9:15 pagi, 29 November 2007.

Sistem pelajaran atau penggubal sistem pelajaran mengundang bencana?

Oleh Ali Bukhari Amir

Kita baru dikejutkan dengan kes membunuh diri yang menimpa adik Subashini baru-baru ini. Menurut laporan, gadis itu membunuh diri kerana tidak mencapai matlamat 4A dalam UPSR. Terbaru, wujud bantahan ke atas Hospital Seberang Jaya. Pentadbiran hospital itu dikatakan tidak mengendahkan pesakit sehingga menyebabkan kematian anak itu.

Sebenarnya, hal ini boleh dilanjutkan kepada beberapa isu. Pertama, hal yang menimpa pelajar USM di Desasiswa Harapan sekitar 2003-2004 di mana seorang mahasiswa Cina tahun pertama dijumpai mati menggantung diri, dipercayai kerana gagal mendapat kursus yang dipohonnya. Tapi, nantilah kita ceritakan dalam keluaran depan.

Kes bunuh diri melibatkan Subashini juga boleh dilihat daripada isu kedua iaitu ‘jenayah’ kementerian yang merangsang masyarakat secara tak sedar, mempengaruhi minda bawah sedar sehingga mereka 'tension' kalau gagal mencapai kecemerlangan menurut kemahuan Kementerian Pelajaran.

'Jenayah' kementerian pelajaran ini amat merbahaya jika dibandingkan kegagalan hospital menyelamatkan nyawa pelajar yang kecewa dengan keputusan peperiksaan mereka. Tapi, hal ini juga akan dibincangkan dalam keluaran depan, insya Allah.

Namun, kes ini jika direnung sedalam-dalamnya, ia berkaitan dengan amalan pembacaan, iaitu perintah yang dianggap suci dan mulia. Pembacaan ke atas ilmu, kembara meneroka pengetahuan adalah wahyu pertama turun ke atas umat manusia seluruhnya; Iqra’.

Iqra’ atau perintah membaca ini sepatutnya mengheret manusia dan kemanusiaan ke arah pembinaan tamadun yang segar dan pembangunan negara bangsa yang lebih bermaruah lagi dihormati. Apa yang pasti setakat ini, rakyat mungkin salah bacaan atau memegang amanat bacaan daripada penguasa yang ghairahkan pencapaian tinggi di dalam akademik. Ucapan-ucapan ini adalah ucapan yang mencederakan batin anak-anak.

Kadangkala kita terfikir, bagaimana mungkin ‘Iqra’–tuntutan Ilahi mengundang kematian manusia? Tuntutan perang serta jihad saja yang boleh mendatangkan kematian. Atau pun, mungkin ada masalah lain dalam pelajaran kini yang silap? Atau hal ini berakar daripada manusia pemegang dasar dan bukan kesilapan sistem pendidikan itu sendiri.

Tetapi bagi Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, beliau lebih cenderung memusatkan perhatian ke atas budaya ilmu kalangan mahasiswa yang masih belum mencapai tahap membanggakan.

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan peratusan pembacaan pelajar amat rendah jika dibandingkan negara yang dilihat tak setanding dari segi kemajuannya dengan Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Omar, berkata di dalam satu kajian, jumlah buku yang dibaca pelajar Australia ialah 180 buah, diikuti Indonesia (94), India (130), Negara Thai (56) dan Brunei (26). Tapi, kita cuma 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.

Di dalam kajian itu, jumlah buku yang dibeli pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43), Thailand (31), India (75) dan Brunei (15), berbanding Malaysia hanya empat buah untuk tiga tahun pengajian (enam semester).

“Timbul persoalan, adakah pembinaan budaya intelektual dan paradigma pemikiran masyarakat di Malaysia sudah pincang dan merudum menyembah bumi?

“Kebimbangan ini timbul ketika memikirkan bagaimana bangsa Yunani suatu ketika dulu diliputi pemikiran dan kepercayaan bahawa kecantikan itu adalah merujuk terhadap tubuh badan yang tiada seurat benang. Justeru, tidak hairanlah segala lukisan dan seni ukir akan menumpukan ke arah itu,” kata Mohd Dzulkhairi.

Malah, tambah beliau, meskipun tamadun itu memiliki ahli falsafah seperti Socrates juga Aristotle, yang memiliki pelbagai idea melangit namun, Will Durant dalam The Story of Civilization menggambarkan kehidupan mereka yang terdiri daripada ahli fikir: “Kami mempunyai institusi pelacuran kelas tinggi (courtesans) untuk keseronokan, gundik untuk kesihatan harian tubuh badan.”

“Jadi, tidak hairan sebenarnya kerana tamadun Yunani meskipun hebat tapi kemungkaran yang berlaku adalah disebabkan tiada panduan kitab suci. Mereka cuma memiliki pemikir yang bukan terpelihara daripada kesalahan. Logikkah Malaysia menjadi sedemikian?

“Berdasarkan senario yang berlaku di Malaysia berdasarkan kajian tersebut, salahkah ditafsirkan ia adalah petanda bahawa corak pemikiran masyarakat Malaysia sukar diubah atau salah cara dalam mengubah?” tambah Mohd Dzulkhairi.
Di sini, terbentuk suatu persoalan lain, adakah sistem pendidikan itu ada masalah ataupun penggubal sistem pelajaran itu bersalah ketika menyusun dan merapikan dasar pelajaran?

Beliau turut mempersoalkan: “Adakah corak pemikiran sebelum kedatangan Islam seperti Animisme, Dinamisme, Megi Religi masih wujud dan sukar diubah atau dipisahkan dari pola pemikiran masyarakat Malaysia? Kalau bukan begitu, jenis apakah pandangan hidup atau pandangan alam dalam kalangan penuntut ilmu di Malaysia?

“Saya tertarik kaedah pembacaan seorang tokoh iaitu Dr. Fadzilah Kamsah yang pernah mengatakan bahawa beliau membeli buku setiap minggu untuk dihayati dan difahami.

“Tahap pembacaan yang luas adalah antara batu loncatan bagi mengembalikan kesedaran keilmuan dan tradisi idealisme yang mencapah. Jika ini tidak dicapai, bila akan tiba saat masyarakat membudayakan tradisi tersebut?” kata beliau.

Di dalam hal ini, Mohd Dzulkhairi berkata, budaya ilmu tidak sekadar memahami sesuatu bidang saja, malah yang lebih utama ialah sikap menjelmakan sifat keilmuan yang multi-disciplinary (pelbagai bidang) dan inter-disciplinary (rentas bidang).

“Tapi, adakah sifat ini mampu dicapai kalau hendak dibanding kajian bancian pembacaan itu? Semua ini pasti tertumpu terhadap pelajar universiti.

“Apatah lagi kita akan mengumumkan IPT yang merintis status Universiti Apex, tahun depan sebagai landasan pantas untuk menjadi universiti bertaraf dunia,” katanya.

Di dalam kesimpulan awalnya, Mohd Dzulkhairi menyifatkan, bahawa walaupun majoriti masyarakat kita adalah Melayu–Muslim, namun kelemahan kita yang berlaku kini adalah disebabkan kerana jarak antara pengamalan kepercayaan hidup yang dianuti dengan cara hidup yang begitu jauh.

“Jadi, binalah konsep Tauhidic Worldview yang menitikberatkan soal proses keilmuan dan realisasi Integrated Knowledge,” ujar beliau.

Kerajaan perlu ubah dasar ekonomi, elak krisis inflasi

Ali Bukhari Amir Thu Nov 22, 07 11:54:39 am MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) – Beberapa polisi kerajaan tentang ekonomi perlu diubah secara drastik bagi mengelakkan krisis inflasi yang kian meruncing khasnya yang membabitkan dasar pertanian negara.

Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pemerkasaan dasar pertanian mampu mengeluarkan bahan keperluan isi rumah sekali gus menampung permintaan bahan keperluan semasa.

"Dengan ini, kenaikan harga bahan keperluan rakyat dapat dikawal memandangkan hasil pengeluaran selari dengan permintaan," kata beliau.

Menurut Faisal, dasar pasaran yang terlalu bergantung kepada ukuran permintaan dan penawaran tanpa kawalan pihak bertanggungjawab menyebabkan berulangnya inflasi.

"Sebab paling utama kenaikan harga adalah kenaikan harga barang api. Kenaikan minyak di pasaran dunia sebanyak AS$100 dolar setong berikutan keengganan OPEC melakukan penambahan pengeluaran mewujudkan keadaan amat merumitkan.

"Dalam masa yang sama, pasaran minyak Malaysia seolah-olah seperti pasaran di negara 'pengimport bersih' kepada bahan bakar itu yang terlalu bergantung kepada kadar harga di pasaran antarabangsa.

"Jadi, seperti yang diramalkan, tindakan yang diambil untuk menangani masalah adalah dengan mengurangkan pemberian subsidi minyak sedia ada kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Mohd Shafie Apdal berkata, kenaikan harga minyak mentah global yang melonjak melebihi paras AS$100 setong kini memberi tekanan kepada harga minyak tempatan dan akan mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan lain.

"Kenaikan harga minyak tempatan terus berlaku walaupun kita tersenarai sebagai negara pengeluar minyak," kata Faisal, sambil menyarankan supaya teori ekonomi Ibnu Khaldun diberi kan perhatian melalui peningkatkan perbelanjaan rakyat dan dalam masa yang sama kerajaan perlu mengurangkan bebanan seperti cukai dan harga minyak.

"Ini termasuk pemberian subsidi kepada peniaga khasnya bumiputera supaya mereka tidak menaikkan harga. Apabila bebanan kadar cukai, harga minyak dan lainnya dikurangkan, ia menggalakkan rakyat berbelanja. Maka, akan ramai bilangan pengusaha dan pembekal.

"Kesannya, kerajaan akan memperolehi semula perbelanjaan rakyat menerusi cukai yang dikutip dari pertambahan bilangan pengusaha dan pembekal," tambah beliau.

Selain itu, kata Faisal kerajaan perlu menggiatkan usaha menyelidik bagi mencari sumber lain sebagai alternatif kepada petrol seperti minyak kelapa sawit.

"Hasil penemuan bahan gentian itu dapat membantu mengurangkan kadar kenaikan harga minyak.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu berperanan meningkatkan penguatkuasaan dalam kawalan harga barang. Jika kerajaan tidak menangani kenaikan harga barang, inflasi akan meningkat seterusnya kos hidup mencanak, sekali gus rakyat akan menderita," katanya. - mks.