Kampus Hadhari (Sekolah Pemikiran Tunjungan)

KAMPUS HADHARI (Sekolah Pemikiran Tunjungan) adalah sebuah laman yang mengumpulkan senarai blog & bloggers yang berjuang secara sukarela tanpa mengaut keuntungan. Jika kedapatan mana-mana ahli Kampus Hadhari yang terdakwa di bawah Auku dan lain-lainnya, warga KAMPUS HADHARI akan berusaha melindungi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.


Hujah pelajar kurang mantap apabila menentang sesuatu sistem

Sumber: Siasah

Oleh Ali Bukhari Amir

Saya mengikuti satu forum kemerdekaan anjuran beberapa buah perkumpulan mahasiswa di UKM pada Selasa lalu. Di akhir forum tersebut beberapa orang mahasiswa telah bangkit bertanya mengenai beberapa perkara yang menyangkut hal ehwal kemahasiswaan.

Soalan itu berkisarkan kepada semangat anak kampus untuk berpartisipasi dengan politik. Beliau menggunakan istilah ‘dewasa’ pada anak-anak muda kampus.

“Kami sudah dewasa dalam usia 18 – 21 mengikut undang-undang Malaysia, tapi kenapa tidak dibenarkan berpolitik dengan bebas? Kenapa Auku menyekat?” demikianlah antara persoalan yang dibangkitkan.

Sebenarnya saya bersetuju dengan pandangan beliau, bahawa sepatutnya universiti membenarkan anak kampus ini menganggotai mana-mana parti yang mereka sukai semenjak di alam kampus. Alasan bahawa kegiatan politik akan menyebabkan mereka hilang tumpuan pada pelajaran tidak masuk akal.

Universiti dalam realiti sekarang akan membiarkan pelajarnya menceburi politik jika ada ternampak tanda-tanda kesungguhan bahawa majoriti pelajarnya akan menyokong parti pemerintah. Namun, hal itu sukar berlaku dalam keadaan sekarang.

Majoriti pelajar akan menyokong pakatan parti pembangkang. Minoriti akan menyokong pakatan parti pemerintah. Selepas era kampus, akan ada kalangan majoriti ini yang masuk Umno dan selebihnya masih setia dengan pakatan pembangkang.

Tentu akan ada pihak berkata, jika hakikat ini terus terjadi, kenapa kerajaan tidak biarkan pelajar berpolitik saja di kampus? Walaupun ada yang berwajah pembangkang, nantinya akan ada juga yang menyokong parti pemerintah. Lalu, apakah yang dirisaukan sangat?

Jawapannya begini, Umno akan tetap berusaha menjadikan seseorang itu Umno semenjak tadika, sekolah rendah, menengah, dan kampus guna memanjangkan cita-cita Umno sehingga akhirnya. Jadi, tiada ruang pun yang akan diberikan kepada musuhnya walaupun sedikit.

Kita boleh lihat kesungguhan itu melalui penubuhan Putera Umno, Puteri Umno di dalam kampus. Di luar kampus mereka beroperasi dalam kegiatan ‘dakwah’ ke atas Mat Rempit dan memikat anak muda melalui acara My Team.

Oleh itu, ruang kebebasan berpolitik itu tentu saja ditutup semahunya. Malahan kalau ada pelajar propembangkang di kampus, akan dipujuk mereka untuk menyertai Umno selepas alam kampus. Jadi, tabiat Umno ini hendaklah diketahui oleh kalangan pelajar universiti.

Kita tidak mungkin dapat lagi berhujah secara ilmiah dengan menyatakan bahawa kami ini telah dewasa, jadi berilah kami peluang mengikuti hal politik sementara kami belajar. Hujah intelek begini sedikitpun tidak menarik minat intelektual Umno dalam universiti.

“Hanya ada satu kata, Lawan!” demikianlah kata Wiji Thukul, seorang penyair Indonesia yang hilang setelah diculik polis di era Reformasi saat rakyat menumbangkan Soeharto.

Jadi berbekalkan semangat kata-kata itu, saya menyarankan pelajar yang bercita-cita bagi menumbangkan Auku agar segera mendaftarkan diri sebagai ahli parti yang mereka suka. Cari ruang Auku yang tidak masuk akal dan saudara langgar peraturan itu tanpa peduli.

Contohnya, menurut Auku, menulis perlukan keizinan dari universiti. Hal itu tidak masuk akal. Anda mampu menulis dan diterima masuk ke universiti kerana akal yang sihat. Jadi, tulislah. Setelah itu anda pasti ditahan jika ada isu-isu kontroversi melibatkan universiti.

Di sinilah kualiti dan potensi anda yang sebenar akan terserlah. Cabar pihak universiti untuk buktikan kesalahan anda secara logik. Dalam jawatankuasa siasatan itu mereka lazimnya kalah berhujah jika anda meminta mereka berhujah berdasarkan logik.

HEP sendiri tidak dapat mempertahankan alasan mereka menangkap anda hanya kerana anda menulis di akhbar-akhbar. Jadi, jika anda mahu berpolitik kepartian, sila laksanakan niat anda bersungguh-sungguh. Daftar keahlian PAS, DAP, PKR dan Umno (sudah tentu pendaftaran Umno ini tiada masalah kepada universiti.)

Jika anda ditangkap kerana menjadi ahli sesuatu parti, segera jawab dalam blog anda dan jangan pernah peduli kata-kata mereka, “perlu minta izin HEP dulu sebelum menulis di akhbar Harakah, Harakah Daily dan blog anda. Minta izin dulu sebelum anda ingin membuat blog.” Semua kata-kata ini, nampaknya semakin tidak masuk akal.

Undang-undang yang tidak masuk akal adalah undang-undang yang zalim. Mengikut akta yang zalim ertinya kita relakan diri dizalimi. Malah, perundangan yang zalim dan tidak masuk akal itu tidak layak digelar perundangan.

Ini kerana perundangan adalah hasil satu cetusan akal pemikiran. Antara anggota tubuh yang dimuliakan ialah akal berbanding tangan, kaki dan lainnya. Ini tentulah saja terkait dengan fungsi akal yang merumuskan hukum guna memelihara kemanusiaan.

Jadi, oleh kerana Auku tidak masuk akal, tidak logik, maka ia tidak layak digelar undang-undang kerana akta perundangan adalah cetusan akal pemikiran tadi. Demikian kita patut berhujah sama ada secara lisan mahu pun tulisan.

Berbalik kepada pertanyaan awal tadi yang menyimpulkan bahawa kedewasaan itu syarat untuk seseorang berkecimpung dalam dunia politik kepartian di kampus, maka Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) telah menjawab lebih kurang begini.

“Kita memang tidak berpuas hati kepada sesuatu sistem. Tapi, bagaimana kita mengemukakan pandangan kita? Adakah kita berhujah menggunakan pemikiran dan fakta?” katanya.

Dalam program yang sama, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Dr Awang Sariyan berkata, pelajar perlu banyak dan giat menulis di akhbar-akhbar.

“Gerakan persuratan perlu dimulakan segera dan dirancakkan untuk membangunkan akal fikiran bangsa Melayu,” kata beliau. Ini bermakna gerakan persuratan jangan dihentikan. Ia adalah modal dan aset besar kepada pembangunan pemikiran bangsa.

Tapi, sejauhmana pelajar dapat memikul beban ini? Seorang rakan maya saya, pengendali Ummah Online berkata, beliau tidak bersetuju dengan hujah pimpinan pelajar atas bantahan terhadap konsert Gwen Steffani.

Saya sokong bantahan itu walaupun saya suka Gwen Steffani. Hal saya suka penyanyi itu adalah urusan peribadi. Saya punya citarasa dan nilai estetika tersendiri. Hal mengenai fakta hujah bantahan itu dikemukakan, itu adalah tergantung pada tahap intelektual pimpinan pelajar tadi.

Kita hormati pandangan siapa saja walaupun ada terselit rasa tidak suka ke atas beberapa pandangan itu. Kita mesti beri ruang kepada pelajar untuk berhujah. Mereka nanti menilai sendiri hujah mereka setelah beredar dari alam kampus.

Ini yang sepatutnya dilaksanakan universiti. Biar mereka berhujah secara ‘bodoh’ (itulah tanggapan kita kerana berasa diri kita cerdik), lama-lama mereka cerdik dengan sendirinya. Rakan maya saya tadi tidak berniat menulis untuk mencerca pandangan dan hujah bantahan pimpinan pelajar ke atas Gwen Steffani.

Dia sekadar berbisik dan mengeluh mengenai tahap kemampuan berhujah pimpinan pelajar. Itu saja. Saya yakin dia sebenarnya termasuk dalam jalur yang menyokong bantahan itu.

Kisah Dayak, Banjar, Mongolia dan Sang Ratu Langi

Oleh Ali Bukhari Amir
Thu | Aug 02, 07 | 12:17:43 PM

Hari ini agak lengang dan kami para peserta bengkel puisi Mastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kurang terikat dengan jadual. Dalam pertemuan antara penyair muda Malaysia, Indonesia dan Singapura di sini yang berlangsung antara 29 Julai hingga 6 Ogos ini, ada banyak perkara yang terhimpun di dalam kepala saya yang tidak dapat dimuntahkan segalanya.

Bagaimanapun, suka saya mengutip beberapa perkara yang saya anggap menarik dan baru kepada saya. Tetapi, hal yang baru pada pengamatan saya ini mungkin sudah lama diketahui umum. Apabila berbual dengan peserta penyair muda Indonesia termasuk pembimbing Malaysia sendiri, saya semakin terasa ilmu yang dituntut dalam perhitungan 30 tahun usia belakangan ini cuma separas buku lali tingginya, bukan separas dada.

Jadi, tidak ada seorang manusia pun sebenarnya yang boleh mendabik dada, kerana ilmu kita pada hakikatnya sentiasa berkembang dengan peredaran masa dan zaman. Jika, hari ini, seseorang itu mengaku ilmu separas dada, lalu dia mendabik dadanya, esok lusa dia akan menyedari bahawa pengetahuannya itu mula menyusut ke paras buku lali.

Semakin masa berputar, ilmu berkembang dan tidak boleh sesiapa pun bercakap celupar. Betapa perlunya seseorang itu merendah diri kepada Tuhan dan cuba melatih diri untuk menghormati antara satu sama lain.

Saya mula tahu apa itu 'junjung buih' sebuah kisah dalam hikayat atau ceritera Dayak dan Banjar. Ia seperti kisah suatu watak yang diperihalkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sulalatus Salatin yang mengisahkan kewujudan watak manusia yang lahir daripada buih. Dan banyak lagi kisah yang hampir sama, cuma watak dan namanya berbeda-beda.

Tetapi, saya tidak mahu bercerita mengenai 'junjung buih'. Saya mahu bercerita mengenai suku Dayak, Banjar dan Mongolia. Nanti saya bercerita mengenai Sang Ratu Langi di akhirnya. Insya Allah.

Menurut kisahnya, bangsa Dayak ini wujud dengan gabungan campuran darah bangsa Mongolia. Sesetengahnya, menganggap bahawa mereka ini berasal daripada China, tepatnya Utara China. (Tiongkok menurut lidah Jawa).

Percampuran ini sejak ratusan tahun lalu. Sebab itu, orang Dayak ini memiliki kulit cerah. Sesetengah mereka memeluk Islam. Sebagai cara untuk membezakan Dayak Muslim dan Dayak bukan Muslim ialah dengan cara meletakkan nama Banjar pada Dayak Muslim tadi. Ertinya, orang Banjar itu adalah Dayak yang memeluk agama Islam atau orang anak-anak Dayak yang telah lahir sebagai seorang Muslim.

Tinggal, yang menjadi persoalan saya secara peribadi, adakah generasi pertama bangsa Mongolia itu telah Muslim atau mereka menjadi Muslim setelah mereka singgah ke Kalimantan ini? Saya sering tertanya-tanya adakah nama Altantuya itu mempunyai kesan pengaruh Islam? Misalnya, Al-Baghdadi, al-Basri, al-Attas dan lainnya. Adakah mungkin Altantuya itu ejaannya seperti Al-Tantuya? Sayangnya, saya tiada kesempatan itu ...

Atau, adakah bangsa Mongolia ini cukup hebat kekuasaannya sehingga pengaruh mereka sampai ke Burma? Jika tidak, kenapa sepupu Altantuya bernama Burmaa? Hal ini semua adalah rangkuman pertimbangan dan andaian yang sering menjadi perhitungan juga.

Maaf, saya cuma mahu cakap atas nama akademik. Tapi, entahlah. Lazimnya semua perbincangan kita akan mengheret kepada politik akhirnya. Itu yang menyebabkan kebanyakan ahli politik kita tidak suka pensyarah dan ahli akademik bercakap melalut sehingga menceroboh wilayah politik mereka. Kalau boleh biarlah 'sekularisasi pendidikan' berlaku dengan jayanya di dalam universiti dengan Auku sebagai alat guna mengukuhkan 'sekularisasi pendidikan' itu.

Kalau sekular itu sering ditakrifkan sebagai usaha atau cara pandangan hidup yang memisahkan antara 'politik dan agama atau agamawan', maka sekular itu juga menurut ukuran pemahaman saya yang silap ini, boleh wujud dalam universiti iaitu dengan cara mengelakkan pensyarah, pelajar bergerak dalam lapangan politik. Pemikiran yang rosak ini juga perlu diperbaiki. Kalau tidak, bangsa kita akan terus rosak kerana dirosakkan oleh politikus yang berpolitik seperti tikus.

Apa yang perlu ada ialah keberanian untuk bergerak dengan mencabar pemikiran lapuk kini. Tetapi, siapakah yang berani kalau ramai yang terlalu memikirkan kedudukan, jawatan, pangkat dan kemungkinan tidak dapat dilantik sebagai NC, TNC dan lain-lain jawatan?

Hal inilah juga yang ingin saya kaitkan dengan kisah Sang Ratu Langi. Ketika mula mendengar namanya, saya fikir nama ini ialah nama pahlawan purba pada zaman silam. Namun, rupa-rupanya sosok ini dan angkatannya bangkit pada zaman 50-an, 60-an, dan 70-an. Kisahnya ini tidaklah didokumentasikan oleh murid-muridnya sendiri.

Mendengar kisah yang disampaikan oleh rakan penyair saya, Freddy Wowor dari Menado, saya bayangkan Sang Ratu Langi (SRL) memang orang yang amat hebat. Cuma, saya tidak tahu sejauh mana kehebatannya. Beliau bukan pendekar yang bermandi darah di gelanggang dan medan perang. Tetapi beliau menggunakan sepenuhnya media-media.

Apabila beliau meninggal dunia, sebuah universitas dibangunkan di atas namanya; Universitas Sang Ratu Langi. Beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan perlembagaan atau forum Permesta (Perjuangan Semesta) yang memperjuangkan wilayah otonomi bangsa Minahasa di Menado. Permesta ini seperti GAM (Gerakan Acheh Merdeka) di Acheh.

Menurut teman, Sang Ratu Langi di zaman kemahasiswaannya pernah bergabung dengan Sukarno bagi menuntut kemerdekaan. Beliau telah pun mengadakan jaringan dengan pemimpin politik Filipina. Pendek kata, segala ruang telah dimasukinya dengan susah-payah untuk mencapai matlamat perjuangannya sejak alam kemahasiswaan.

Rakan saya itu adalah mahasiswa kelahiran Universitas Sang Ratu Langi. Sudah tentulah beliau menceritakan idolanya dengan penuh semangat.

"Sayangnya, pemerintah Indonesia belum mewartakan lagi rumahnya dan segala peninggalannya sebagai bahan sejarah," kata Freddy.

Saya jadi terkejut. "Sepatutnya, kalaulah seseorang yang sudah punya nama dan namanya itu diabadikan di sebuah universitas yang dibangunkan sendiri oleh angkatannya, menurut saya pemerintah saudara wajar meletakkan peninggalannya sebagai bahan sejarah."

Freddy terdiam. Dia tidak membantah sedikit pun, malah menyetujui pandangan saya itu.

"Ya... apa boleh buat kan?" keluhnya lagi dengan penuh kesal.

Moralnya di sini, alam kemahasiswaan dan dunia perguruan universiti seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Janganlah berlaku seperti mana yang wujud pada hari ini. Mungkin kita tidak berjaya pada masa sekarang, tetapi generasi masa depan akan mula menuai hasil perjuangan kita. Jika tidak berusaha sepenuhnya, relakah kita melihat suatu masa nanti, generasi depan menuai protes ke atas sikap kita yang berdiam diri ini?

Banyak perkara yang mahu saya sentuh mengenai khazanah warisan pemikiran Sang Ratu Langi. Memandangkan sekarang jam 11:30 pagi waktu tempatan. Kini masa untuk makan tengahari. 12:30 petang nanti kami perlu bertolak ke Tanggurang untuk memenuhi acara lain. Sekian, jumpa di lain waktu.

Wassalam ...

Sekolah Pemikiran Samarinda
Kalimantan Timur.
11:41 pagi, 2 Agustus 2007.